BANDAR HILANG
Oleh: Mohd Zawawi Mat Ail (bukan penulis upahan)
PAKA: “Seumpama kota ditinggalkan” begitulah ungkapan yang boleh diumpamakan bagi menzahirkan keadaan sebuah projek perumahan terbengkalai dalam awal tahun 80-bernilai jutaan ringgit yang dibangunkan 1000 lot rumah kini diliputi hutan di Bukit Merah di sini.
Kawasan perumahan yang hanya terletak dua ratus meter dari Jalan Santong-Paka dan 1 kilometer dari jalan Utama Kuantan-Terengganu pada awal tahun 80-an itu tidak disedari kebanyakan penduduk sekitar disebabkan ditenggelami hutan.
Penduduk, Ali Mohamad, 57, berkata, terdapat 3 jenis rumah yang dibangunkan iaitu rumah mewah, rumah kos sederhana dan rumah kos rendah, sebahagiannya sudah berbumbung dan dilengkapi saliran air namun ianya menjadi habuan kepada pencuri bahan binaan untuk mendapatkan bahan binaan secara percuma
.
.
Beliau berkata, penduduk tertanya-tanya mengapa projek perumahan yang terbengkalai hampir 25 tahun dibiarkan hingga menjadi kawasan hutan sedangkan masih ramai penduduk khususnya generasi kedua tidak mempunyai rumah sendiri disebabkan kekurangan kawasan perumahan.
“Mengapa hampir 25 tahun, tiada apa-apa tindakan susulan diambil pihak bertanggungjawab untuk membangunkan semula kawasan berkenaan,” katanya.
Tinjauan Edisi Timur di kawasan itu mendapati di bahagian kanan perumahan “ditinggalkan” itu tersergam beberapa buah bungalow contoh berwarna putih satu tingkat yang siap sepenuhnya hampir 25 tahun namun diliputi pokok-pokok hutan.
Sekitar kawasan perumahan 1000 lot rumah 3 jenis itudilengkapi dengan lubang utama saliran (main hole) dan sebahagian rumah yang dibina dilengkapi saliran paip dan bumbung namun dicungkil pencuri bahan binaan manakala Jalan yang dibina menghubungkan lot-lot rumah di dalam kawasan perumahan itu masih dalam keadaan baik.
Penduduk, Abu Bakar Yakub, 53, berkata, rumah bungalow contoh yang siap sepenuhnya pernah ditawar pembeli dengan harga melebihi satu ratus ribu ringgit setelah projek perumahan terbengkalai awal 80-an dahulu namun pihak pemaju enggan menjual rumah tersebut menyebabkan beberapa rumah contoh terbiar begitu sahaja.
“Suatu ketika dahulu bungalow itu pernah dijadikan “bungalow ayam” oleh penduduk,” katanya.
Tinjauan mendapati terdapat bekas-bekas makanan ayam berselerak di lantai manakala bahagian pintu dan tingkap rumah ditampal kepingan zink untuk dijadikan “rumah bungalow ayam”.
Penduduk, Wahid Jusoh, 52, berkata, selain meminta pihak berkuasa membangunkan semula projek perumahan untuk menampung kekurangan kawasan perumahan kepada generasi kedua beliau turut bimbang kawasan terbiar itu menjadi sarang kepada aktiviti yang tidak sihat.
Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datok Ahmad Said berkata, projek tersebut dibangunkan oleh pemaju dilantik dan dilaksanakan dibawah Tabung Amanah Warisan sekitar awal tahun 80-an dahulu.
“Kita akan mengarahkan pihak berkaitan membuat semakan berkaitan status projek perumahan termasuk status tapak perumahan,” katanya yang turut melahirkan perasaan terkilan kawasan perumahan yang seluas sebegitu rupa yang sepatutnya didiami anak tempatan hampir 25 tahun lalu terbiar begitu sahaja.
Beliau yang meninjau kawasan berkenaan dan turut disertai Adun Paka, Mohd Ariffin Abdullah, enggan mengulas lanjut berkaitan projek tersebut yang diistilahkan oleh beliau sebagai “bandar yang hilang”, namun akan berusaha secepat yang mungkin setelah mendapat laporan terperinci tentang projek untuk dibangunkan semula sebagai sebuah perumahan yang terancang.END
Tiada ulasan:
Catat Ulasan