search berita di sini

Hidu bau busuk sejak 10 tahun lalu

"Air busuk memenuhi longkang di kawasan perumahan kerana kekurangan longkang jejari dan longkang utama bagi mengalirkan air dari taman-taman perumahan ke Sungai Paka"

Oleh Mohd Zawawi Mat Ail

PAKA: Lebih 60 buah keluarga di Taman Paka Indah Kampung Gemia berhadapan dengan masalah bau busuk lebih 10 tahun lalu yang berpunca daripada tiada saliran dibina bagi mengalirkan air keluar daripada longkang yang dibina pemaju perumahan disekitar kawasan perumahan itu.

Tinjauan Edisi Timur mendapati longkang berhampiran rumah penduduk yang dibina pemaju disekeliling taman perumahan itu tidak dapat mengalir ke luar menyebabkan longkang dipenuhi air yang berbau busuk berkeladak malah melimpah ke atas jalan.

Penduduk, Manan Osman, 47, berkata, berhadapan dengan masalah bau busuk bukanlah masalah baru kepada penduduk di situ kerana sudah lebih 10 tahun masalah bau busuk dihadapi iaitu sejak kawasan perumahan itu dibuka.

Penduduk tiada pilihan mengelak daripada menghidu bau busuk air longkang selain daripada menutup tingkap dan pintu rumah sepanjang masa.

“Mahu tidak mahu, kami hanya mampu bersabar menunggu pihak berkuasa tempatan mencari jalan penyelesaian membina saliran air bagi membolehkan air kumbahan yang bertakung dalam longkang dapat dialirkan dengan sempurna.

“Namun walaupun bertahun menunggu sehingga sekarang masih tiada sebarang tindakan diambil pihak berkuasa tempatan untuk menyelesai masalah ini.

Penduduk, Husin Malek, 44, berkata, keadaan menjadi bertambah teruk apabila hujan turun yang menyebabkan air longkah yang melimpah menyeberang jalan menyebarkan bau busuk hingga ke dalam rumah.

Keadaan jalan yang becak dan longkang yang dipenuhi air kotor kehijauan dan busuk lebih meresahkan penduduk di taman perumahan itu apabila tibanya waktu malam yang memaksa mereka berperang dengan nyamuk yang cepat membiak dengan keadaan air yang bertakung.

Apa yang lebih meresahkan penduduk, air yang bertakung turut menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Penduduk, Fatimah Hasan, berkata, penduduk tinggal dalam keadaan tidak selesa dan bimbang lebih-lebih lagi di musim hujan dengan kehadiran lalat yang boleh mencemarkan bahan makanan dan minuman.

Pegerusi JKKK Kampung Gemia, Mustofa Ismail, 70, berkata, beliau beberapa kali membangkitkan maalah yang dihadapi penduduk kepada pihak berkuasa tempatan namun sehingga sekarang jalan penyelesaian diambil bagi mengalirkan air longkang yang bertakung di sekeliling kawasan perumahan itu.

“Maslah ini tidak dapat diselesaikan kerana tiada tanah rezab kerajaan untuk dibina longkang jejari dan ketiadaan longkang utama utuk pengaliran air ke Sungai Paka," katanya.

Beliau berharap pihak berkuasa tempatan menyelesai masalah yang dihadapi penduduk memandangkan sudah lebih sepuluh tahun penduduk taman perumahan terpaksa menghidu bau busuk yang kurang menyenangkan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Mohd Ariffin Abdullah berkata, pihak Jabatan Parit dan Saliran telah melantik syarikat perunding bagi membuat kajian pembinaan longkang jejari bagi mengalirkan air yang bertakung dibeberapa kawasan perumahn termasuk Taman Paka Indah ke longkang utama yang juga akan dibina tidak lama lagi.

“Pengambilan tanah untuk dibina longkang jejari akan dilakukan setelah siapnya laporan penilaian tanah.

“Sebelum ini, kita menghadapi masalah tiada rezab kerajaan bagi pembinaan longkang jejari dan tiada longkang utama bagi pengaliran air ke Sungai Paka.

“Kita percaya dengan siapnya longkang jejari dan pembinaan longkang utama nanti masalah yang dihadapi penduduk perumahan-perumahan di Paka akan selesai sepenuhnya,” katanya yang ditemui di sini.

CAPTION:
886: Air busuk memenuhi longkang di kawasan perumahan kerana kekurangan longkang jejari dan longkang utama bagi mengalirkan air ke Sungai Paka
877, 880: air longkang yang busuk melimpah hingga ke atas jalan disebabkan kekurangan longkang jejari dan utama bagi mengalirkan air dari taman-taman perumahan di Paka ke Sungai Paka

Tiada ulasan:

Catat Ulasan