search berita di sini




Petronas Gas anjur program ‘Sekampit Beras, Sekilo Gula’
Oleh Mohd Zawawi Mat Ail

DUNGUN:    
            Kakitangan Petronas Gas Berhad di Loji Memproses Gas Kompleks B (GPPB) Paka menganjur program ‘Sekampit Beras, Sekilo Gula’ bagi membantu golongan kurang bernasib baik serta menghulurkan sumbangan kemudahan peralatan kepada Masjid Santong selain dapat mengeratkan hubungan silaturrahim dengan penduduk sekitar.
            Majlis bermula seawal jam 8.00 pagi dengan kehadiran lebih 1000 penduduk kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka dan kakitangan GPPB bergotong royong membersih dan memperbaiki fasiliti masjid Santong seperti mengecat wakaf masjid, pembahagi jalan dan kawasan parkir.
            Program dianjurkan ternyata meriah dengan kerjasama penduduk kampung dan kakitangan GPPB bersama-sama menyiapkan hidangan berbuka puasa dengan memasak daging 2 ekor lembu yang disembelih pada awal pagi.
            Seramai 30 warga emas, 12 ibu tunggal, 10 anak yatim dan 15 Orang Kelainan Upaya (OKU) menerima sumbangan sekampit beras sekilo gula selain itu GPPB juga menyumbang peralatan kemudahan masjid iaitu 4 unit kon pembesar suara, 2 unit lampu sorot serta 5 unit kipas angin kepada Masjid Santong.   
            Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Santong, Shafie Salleh, berkata beliau berasa bersyukur dan mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kakitangan GPPB serta pihak pengurusan Bahagian Operasi Loji (POD) yang menyumbang tenaga serta wang ringgit bagi membantu golongan yang memerlukan serta peralatan kemudahan masjid dan menyumbang 2 ekor lembu untuk hidangan berbuka puasa.
            Pengurus Besar GPPB, Azlimi M Lazim, berkata pogram Sekampit Beras, Sekilo Gula ini adalah salah satu daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) GPPB yang dianjur dari semasa ke semasa bagi menjalin hubungan dengan masyarakat sekitar.
            “GPPB juga menjadikan Sekolah Kebangsaan Santong (SKS) sebagai sekolah angkat yang turut sama–sama dirai dalam majlis pada hari ini dengan sumbangan duit raya.
            “Penganjuran program ini turut dijayakan bersama oleh kontrakor-kontraktor tempatan yang turut bersama-sama menghulurkan sumbangan dan bergotong-royong bersama-sama penduduk kampung.
            Turut hadir pada majlis sehari itu, ADUN Paka, Mohd Arifin Abdullah, Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Dr. Rosli Mat Hasan dan Ketua Balai Polis Paka  Cif Inspektor Mahadi Husin.


           
           
             
           

Tiada ulasan:

Catat Ulasan