search berita di sini

hari ini dalam sejarah polItik Dungun (aDUN pAKA DIKRITIK HEBAT BLOGGER SUATU MASA DULU)

INI ADALAH SEPENUHNYA DARI BLOGGER DI
lordazaab.wordpress.com

Oleh Mohd Ali Mohd Hamdan
SALAH seorang dari Geng 10 yang menimbulkan kontroversi di Terengganu baru-baru ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Zakaria Abdullah.
Pengundi di DUN Paka mula tertanya-tanya, ke mana menghilangnya YB Zakaria sejak kebelakangan ini?
Adakah dia sibuk menjaga keselamatan dirinya yang dikatakan terancam, ekoran sms yang diterimanya atau, ada tugas lain yang didokongnya menyebabkan dia tidak kelihatan di kawasan di mana dia menjadi wakil rakyat.
Bagi rakyat di DUN Paka, mereka tidaklah sampai sanggup berguling-guling atas jalan raya menanti kepulangan YB Zakaria tetapi mereka khuatir YB Zakaria tersesat jalan untuk datang disebabkan dia sudah lama tidak masuk ke kawasan.
Menjadi wakil rakyat sebenarnya memikul amanah dan kepercayaan. Ketika parti memilihnya bertanding, kepimpinan yakin dia boleh menjalankan tugas dan tanggungjawab.
Malangnya, selepas bergelar YB, dia lupa. Dia sibuk dengan cerita undi tidak percaya kepada Menteri Besar dan enggan menghadirkan diri ke persidangan DUN Terengganu kononnya bimbang akan keselamatannya.
Bahaya sebenarnya kalau seorang wakil rakyat terlupa. Terlupa tugas sebenar sebagai wakil rakyat, terlupa tugas sebenar sebagai ahli parti dan lupa tugas sebenar sebagai seorang ADUN. SETERUSNYA


Kata mereka yang kenal dengan YB Zakaria, ketika dia mendakwa keselamatannya terancam, janganlah dia duduk di hotel. Janganlah keluar makan dan minum sebebas-bebasnya. Kalau boleh, dapatkan nasihat pihak keselamatan untuk bergerak ke mana-mana jika perlu.
Kalau masih bebas tersengih-sengih macam kerang busuk, boleh duduk di hotel dengan seronok dan keluar makan dan minum dengan kawan-kawan, maknanya, ancaman itu tidak wujud dan jika wujud sekali pun, ia bukan satu ancaman.
Kalau YB Zakaria pernah mendengar kisah Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima ancaman bunuh, dia melarikan dirinya ke Kedutaan Turki. Punyalah serius ancaman bunuh ini sebenarnya tetapi bila dia bertanding di Permatang Pauh, selepas beberapa hari mendakwa menerima ancaman, bebas pula dia berkempen tanpa ada apa-apa yang terancam.
Malang sungguh penduduk dan pengundi DUN Paka di bawah Parlimen Dungun mendapat dan memilih seorang wakil rakyat yang berpewatakan macam Zakaria ini. Khabarnya daun-daun kayu dan rumput di tepi-tepi jalan pun menangisi kehilangannya.
Ada yang bercerita, apakah sejak kalah jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian Dungun, Zakaria merasakan dirinya tersisih. Mahu menyalahkan ‘ibu yang mengandung, tidak adil’. Maka, salahkah Menteri Besar yang didakwa tidak memberi perhatian lebih kepada ADUN yang kalah di peringkat bahagian tetapi melebihkan penyandang Ketua Umno Bahagian.
Biasalah! Menuding jari menyalahkan orang lain lebih mudah daripada mengaku kesalahan dan kesilapan sendiri.
YB Zakaria mungkin seronok bila namanya kini semakin kerap tersiar dalam media, termasuk blog dan portal. Dia mungkin terfikir, kalau dia memberikan perkhidmatan kepada pengundi di DUN Paka, dia tidak menjadi popular tetapi bila dia berada bersama mereka yang menentang kepimpinan Menteri Besar, dia merasakan dia popular dan namanya sentiasa menjadi sebutan.
Geng 10, yang bukan Zakaria ketuanya tidak memikirkan maruah Umno. Mereka tidak pernah mahu berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu. Mereka tidak pernah mahu ingat, jika bukan kerana Umno dan BN mereka tidak akan sampai ke tahap sekarang.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said tidak pernah meminta dirinya dilantik menjadi Menteri Besar.
Malahan, ketika namanya dipersetujui pihak istana, khabarnya YAB Datuk Ahmad sendiri belum terlintas untuk menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh.
YB Zakaria sepatutnya tahu, kejatuhan Datuk Seri Idris Jusoh bukan atas perbuatan Datuk Ahmad Said.
Malahan, ketika Datuk Ahmad Said menjadi Exco dalam era kepimpinan Datuk Seri Idris, Datuk Ahmad merupakan salah seorang anggota Exco yang tekun dan rajin menjalankan kerja-kerja parti dan kerajaan.
YB Datuk Seri Idris jatuh kerana dia tidak sedar, setiap yang naik akan jatuh suatu hari nanti. Cuma masa sahaja yang akan menentukan sama ada naik itu seketika atau naik dalam satu tempoh yang panjang.
Sepatutnya Datuk Seri Idris bermuhasabah diri. Kenapa boleh jatuh ketika sedang gilang gemilang. Kenapa pihak istana tidak begitu gemarkan kepimpinan dan tingkah lakunya ketika dia menjadi Menteri Besar.
Begitu juga dengan para penyokong Datuk Seri Idris dan Geng 10 yang memboikot persidangan DUN Terengganu baru-baru ini. Jika YAB Datuk Ahmad Said yang menyebabkan Datuk Seri Idris jatuh, bolehlah mereka meneruskan kerja-kerja mahu menjatuhkan Datuk Ahmad Said.
Tetapi kalau mereka percaya kepada Qada’ dan Qadar dari Allah SWT, mereka semua harus berbaris meminta maaf kepada seluruh rakyat Terengganu, kerana banyak masa dihabiskan berpolitiking dan bukan berkhidmat kepada rakyat.
Geng 10 juga sepatutnya perlu berbaris mengadap Baginda Sultan Terengganu kerana menjatuhkan Datuk Ahmad adalah salah satu tindakan membantah kehendak Baginda yang bersetuju Datuk Ahmad dilantik menggantikan Datuk Seri Idris.
Cukuplah! Kembalilah bertugas dan berkhidmat seperti biasa. Bayar balik ‘hutang perkhidmatan’ yang tertangguh selama ini kepada rakyat yang sudah memberi kepercayaan kepada BN untuk memerintah Terengganu. Janganlah melakukan kerja-kerja bodoh ini lagi kerana kepentingan perut sendiri menyebabkan parti dan rakyat dirosakkan.
Pengundi BN di DUN Paka sedang menanti kepulangan wakil rakyatnya yang bernama Zakaria Abdullah ke kawasan. Pulanglah dan bertemulah dengan rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan