Oleh: Mohd Zawawi Mat Ail
PAKA: Nelayan Kuala Paka terpaksa menanggung kerugian besar setiap kali bot mereka pecah terlanggar batu di laluan ke muara Kuala Paka terutama di waktu air surut.
Setiap kali air pasang laluan yang selamat dilalui bot nelayan untuk naik dan turun ke laut hanyalah selebar 20 meter sahaja.
Pengerusi JKKK Kampung Kuala Paka, Mokhtar Yusof, 45, berkata sudah berpuluh kali bot nelayan pecah dan rosak terlanggar batu-batu di laluan ke muara Paka namun sehingga kini pihak Jabatan Parit dan Saliran tidak mengambil langkah penyelesaian walau berkali-kali aduan dibuat.
Katanya, keadaan di laluan yang sempit amat merbahaya terutamanya pada waktu malam kerana lampu penanda batu yang dipasang JPS tidak bernyala semenjak setahun yang lalu.
“Saya percaya batu-batu yang menghalang laluan ke muara boleh dibersihkan melalui cara letupan dengan selamat kerana ianya terpisah daripada batu bukit,” katanya.
Nelayan, Ali Mohamad, beliau pernah berdialog dengan mantan Menteri Pertanian pada akhir 70-an iaitu Datok Manan Osman dan nelayan dijanjikan bahawa beliau akan mengusul kepada pihak JPS membersih batu-batu yang merbahaya kepada bot-bot nelayan di laluan ke muara itu.
“Sehingga sekarang nelayan masih menunggu tindakan daripada JPS meletup batu di kawasan itu,” katanya kesal.
Tinjauan Edisi Timur di kawasan itu mendapati terdapat beberapa penanda diletakkan di kawasan yang berbatu di laluan ke muara bagi mengelak daripada dilanggar bot nelayan dan juga pelancong yang datang bercandang sotong.,
Disebabkan laluan yang selamat dilalui selebar 20 meter ke muara hanya sebuah bot melalui laluan itu dalam satu-satu masa menyebabkan bot berisiko pecah apabila bertembung.
“Sebelum ini sudah beberapa kali bot nelayan pecah dan rosak terlanggar batu di laluan ke muara itu menyebabkan kami menanggung kerugian yang besar.
“Saya sendiri sudah lebih RM 20, 000 berhabis duit setelah dua kali bot pecah terlanggar batu,” katanya.
Nelayan, Ismail Abdul Rahman, 57, berkata, beliau meminta pihak JPS membuat kajian bagi meletupkan batu-batu yang membahayakan bot nelayan di laluan ke muara itu.
“Dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan kawasan tersebut tidak boleh dibersihkan dengan alasan batu bertangkup dengan batu bukit berhampiran adalah tidak benar dan disangkal kami.
“Batu di laluan itu secara jelas dapat dilihat dengan mata kasar terasing daripada batu bukit tidak sebagaimana didakwa pihak JPS sebelum ini.
“Batu yang didakwa bertangkup dengan batu bukit ialah batu di muka muara bukannya batu yang berada di laluan ke muara yang jaranya 200 meter dari bukit itu,” katanya.
Sementara itu, Adun Paka, Mohd Ariffin Abdullah, berkata, sebelum ini beliau telah beberapa kali memajukan perkara ini kepada JPS.
“Diharap pihak JPS mengambil langkah segera menghidupkan semula lampu penanda laluan yang terpadam hampir setahun lalu bagi mengelak bot nelayan bertembung kerana laluan itu gelap gelita dan hanya berharap kepada lampu bot sahaja.
“JPS perlu mengambil tindakan segera meletup batu bagi mengelakkan nelayan Kuala Paka terus berdepan dengan masalah bot pecah yang dihadapi semenjak lebih 30 tahun dahulu,” katanya. END
Tiada ulasan:
Catat Ulasan