search berita di sini

Harapan musnah
Pengusaha tembikai Kampung Ubai gagal kutip hasil tanaman diserang serangga perosak
KUANTAN: Hasrat 25 pengusaha tanaman tembikai di Kampung Ubai, di sini, untuk menikmati hasil pertama tanaman mereka tidak kesampaian apabila terpaksa menanggung kerugian besar selepas lebih 70 peratus tanaman di serang penyakit dan serangga perosak.

Cuaca yang tidak menentu dikatakan antara penyebab masalah berkenaan malah memburukkan lagi keadaan sehingga mereka buntu untuk mencari penyelesaian dan memohon bantuan pihak berkaitan pertanian.
Projek tanaman berkeluasan 20 hektar yang dimulakan awal tahun ini sepatutnya membuahkan hasil dan memberi rezeki tambahan menjelang sambutan Aidilfitri kali ini, namun masalah melanda mula merunsingkan pengusaha terbabit.

Seorang pengusaha, Mohd Azmir Omar, 41, berkata hasil tanaman mula diserang penyakit dan serangga perosak sejak sebulan lalu menyebabkan kebanyakan tanaman mati manakala hasilnya rosak.

“Kebanyakan peserta mengeluarkan modal antara RM3,000 hingga RM5,000 untuk mengusahakan tanaman ini dan sepatutnya mereka sudah dapat mengutip hasil dengan anggaran kira-kira lima tan bulan ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Ubai, di sini.

Mohd Azmir berkata, beliau bukan saja terpaksa menanggung kerugian malah dibebani tekanan selepas mendakwa tiada pihak prihatin dengan masalah ditanggung mereka malah pihak bank yang berjanji mahu memberi pinjaman juga memungkiri janji.
“Saya terpaksa berhutang dengan kenalan kerana mahu menjalankan projek tanaman tembikai ini dan berjanji membayarnya semula selepas mendapat hasil.

“Malangnya hasil tanaman tidak dapat dikutip dan pihak bank juga seolah-olah melarikan diri menyebabkan saya buntu memikirkan jalan penyelesaian,” katanya.

Abdullah Bidin, 60, pula berkata, seramai 30 penduduk kampung terbabit dalam projek tanaman tembikai namun 25 daripada mereka terjejas teruk akibat masalah terbabit.

“Kebanyakan buah kena makan ulat dan ada yang menjadi kecut selain pokok kering dan mati akibat serangan penyakit.

“Malah ada buah yang masih muda turut diserang perosak sama,” katanya.

Beliau berkata, tanaman tembikai membabitkan kawasan seluas lebih 20 hektar secara berasingan dan ada dua jenis tembikai saja yang ditanam oleh pekebun iaitu tembikai tanpa biji dan tembikai kampung.
Oleh Irwan Shafrizan Ismail

Tiada ulasan:

Catat Ulasan