Jeti uzur
CHUKAI: Seramai 40 nelayan dari Kampung Tengah di sini, merayu kerajaan menggantikan jeti pendaratan ikan di Sungai Limbong yang berusia lebih 20 tahun kerana lantai kayunya sudah reput. Tinjauan Edisi Timur ke jeti di Sungai Limbong yang terletak di belakang Pasar Chukai itu mendapati bukan saja lantainya reput, malah tiang dan rasuk kayu itu sudah banyak patah sekali gus seperti jerat menunggu mangsa kerana mungkin runtuh bila-bila masa.
“Kami memang ada menukar lantai reput, tapi oleh kerana kawasan jeti ini luas, kami tidak mampu menggantikan semua yang rosak. Lagipun kayu lantai jeti yang terdedah hujan dan panas, tidak tahan lama,” katanya.
Rakannya, Tengku Mat Tengku Wook, 44, berkata walaupun belum ada kejadian tidak diingini berlaku, dia berharap kerajaan dapat menggantikan jeti itu dengan jeti konkrit yang lebih kukuh dan selamat digunakan oleh nelayan bot kecil.
“Ketika melalui jeti ini untuk sampai ke bot, kami terpaksa berjalan berhati-hati bagi mengelak tersalah langkah yang boleh menyebabkan kaki terjatuh lubang atau terpijak lantai reput,” katanya.
Kahar Sulong, 57, berkata jeti yang sepanjang lebih 50 meter itu bukan saja dijadikan pusat pendaratan ikan oleh nelayan bot kecil, malah dijadikan tempat membuat bubu oleh nelayan yang menggunakan bubu untuk menangkap ikan.
“Keadaan jeti yang terlalu uzur ini dengan lantainya yang reput dan berlubang di sana sini menyukarkan pergerakan kami. Namun apa boleh buat kerana kami tiada pilihan lain lagi. Justeru, saya merayu kepada kerajaan menggantikan jeti kayu ini kepada jeti konkrit,” katanya.
Oleh Shamsudin Husin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan