Pengisian kemerdekaan masyarakat menerusi pelestarian alam sekitar mesra alam
WALAUPUN sambutan bulan kemerdekaan setakat ini tampak tenang, dimensinya tetap pelbagai dan lancar. Dalam kesibukan Ramadan masih banyak dapat dilaksanakan untuk membolehkan kita memperingati dan menghayati erti kemerdekaan dalam pengertian sebenarnya.
Pada hemat saya, kita tidak seharusnya mengukur tahap penghayatan kemerdekaan menerusi kemeriahan dan gendang pada acara dan majlis semata-mata. Apatah lagi menerusi bentuk dan pemaparan luaran seperti sepanduk, jeritan ‘merdeka’ atau paluan kompang. Tahun lalu pada malam kemerdekaan berhampiran rumah saya, sekumpulan anak muda mat rempit menyerlahkan komitmen merdeka menerusi perarakan bermotosikal membawa bendera, kemudian memecut selaju-lajunya!
Penghayatan kemerdekaan seharusnya diserlahkan menerusi kefahaman mengenai peranan kita sebagai warga merdeka. Merdeka tidak semestinya perayaan disambut dengan pelbagai acara meriah. Merdeka juga jangan sampai sekadar upacara tahunan terhadap suatu tarikh keramat seperti 1 Syawal atau tahun baru.
Hakikatnya kemerdekaan adalah satu konsep sarat dengan pengertian politik, jati diri dan pembangunan sebuah bangsa. Pengertian merdeka dari segi politik tidak terbatas kepada pembebasan dari kuasa penjajah saja. Merdeka bererti kebebasan dari segi pemikiran, keilmuan, sosial, ekonomi dan budaya dari pengaruh asing yang merosak dan menindas. Merdeka juga bermakna mempertahankan maruah negara terhadap penghinaan dalaman dan asing, seperti memomokan bahasa dan agama rasmi, apatah lagi melumurkan Jalur Gemilang dengan najis!
Sehubungan itu, dalam kemeriahan pelbagai pihak mengadakan sambutan kemerdekaan pada Ramadan mulia ini, maka kita juga perlu secara serius berfikir mengenai pelbagai persoalan berkaitan erti kemerdekaan, pengisian dan perjuangan untuk diteruskan bagi memartabatkan Malaysia.
Banyak cara kita boleh membuktikan komitmen, jasa bakti dan pengorbanan untuk negara. Biar apapun bentuk khidmat kita, peranan dan modus operandi pengisian kemerdekaan memerlukan rakyat berilmu dan berakhlak mulia dengan etika kerja cemerlang. Menerusi ilmu maka dapatlah kita berkhidmat lebih efektif dan efisien mempertahankan kemerdekaan dalam semua bidang, termasuk pelestarian alam sekitar.
Persoalannya, apakah kaedah menunjukkan patrotisme dan komitmen merdeka terhadap pelestarian alam sekitar? Pada hemat saya, komitmen kita masih banyak perlu dipertingkatkan dalam pelestarian alam sekitar khususnya konteks isu remeh yang sepatutnya sudah menjadi cara hidup harian bagi warga merdeka. Saya mencadangkan tiga kaedah berikut:
Mempertingkatkan tahap penghayatan cara hidup lestari. Cara hidup lestari adalah gaya hidup yang mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar menerusi seluruh aktiviti kehidupan. Menerusi cara hidup sedemikian maka pencemaran dan penghasilan gas rumah kaca dapat dikurangkan.
Menjadi pelopor kepada kemudahan dan perkhidmatan mesra alam. Menerusi kaedah ini maka lebih ramai warga Malaysia yang sedia dan secara sukarela membantu menyediakan pelbagai kemudahan seperti kaedah pelupusan sampah setempat secara berkompos, penuaian hujan dan pusat kesedaran alam sekitar di setiap peringkat. Ada kalanya kaedah ini memerlukan pembabitan dalam pertubuhan pencinta alam yang semakin berkembang subur di Malaysia ketika ini.
Mencipta inovasi dengan memanfaatkan pelestarian alam sekitar untuk mencipta kekayaan dan industri baru. Dalam hal ini kita perlu mempelajari kaedah dilakukan banyak syarikat antarabangsa seperti Toyota, Body Shop dan Shell yang memanfaatkan kesedaran alam sekitar untuk memajukan teknologi, perdagangan dan perkhidmatan baru. Ketika ini label ‘mesra alam’ menjadi keperluan kepada banyak pengguna. Hal ini masih belum dikembangkan di Malaysia. Selamat Ulang Tahun Ke-53 Malaysia! Dr Zaini Ujang
Penulis ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia dan Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekitar Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan