search berita di sini

Jerangkap samar Jambatan Kuala Dungun

Nelayan menuntut pihak berkuasa memastikan kerja-kerja pembersihan dilakukan semula oleh kontraktor terbabit

Oleh Mohd Zawawi Mat Ail
bhkt@bharian.com.my

Dungun: Sikap tidak bertanggungjawab pihak kontraktor pembinaan jambatan Kuala Dungun-Seberang pintasan yang tidak menjalankan kerja pembersihan sisa-sisa bahan binaan dengan sempurna menyebabkan masalah kerosakan bot-bot nelayan Kuala Dungun.
           Jambatan tersebut yang menghubungkan Kuala Dungun dan Seberang Pintasan, Pulau Serai memberi kemudahan perjalanan kepada orang ramai namun bagi nelayan Kuala Dungun pembinaan jambatan tersebut mendatangkan masalah kepada mereka, terdapat “jerangkap samar” yang telah banyak kali merosakkan bot-bot dan dengan pendapatan yang tidak menentu mereka terpaksa mengeluarkan wang beribu ringgit setiap kali terlanggar batu konkrit dan besi cerucuk yang tidak dibersihkan oleh kontraktor terbabit.
         -nelayan di sini sudah jemu dengan sikap pihak berkuasa yang sepatutnya mengambil tindakan tegas dengan memastikan sisa-sisa pembinaan dibersihkan dan tidak membahayakan bot-bot nelayan di sini.
Abdul Halim Abdullah, 48, berkata sudah beberapa kali bot beliau terlanggar batu konkrit dan besi di bawah jambatan itu, bukan sahaja kipas bot tidak boleh digunakan kerana patah malah lempang, lunas dan batang “shaft” bot juga rosak teruk.
            “Harga kipas dan kos membaiki bot bukannya murah nak dibandingkan dengan pendapatan yang diperolehi nelayan seperti kami.
          Beliau pernah membuat aduan kepada pihak LKIM Kuala Dungun tetapi pihak LKIM mengesyorkan beliau membuat laporan kepada pihak JKR. Setelah membuat laporan di Pejabat JKR daerah Dungun, pegawai JKR memberitahu beliau akan diberi pampasan tetapi sampai sekarang pampasan yang dijanjikan senyap begitu sahaja.
          “Apa yang penting melayan-nelayan di sini mahu pihak berkuasa memastikan kerja pembersihan dilakukan semula supaya kami tidak lagi mengalami kerugian dan menjejaskan pendapatan kami,,”katanya lagi
Salah seorang daripada nelayan yang ditemui mempersoalkan mengapa jambatan tersebut diberi kelulusan oleh pihak berkuasa sedangkan kerja pembersihan tidak dilakukan dengan sempurna hingga banyak mendatangkan masalah kepada nelayan di sini.
            Zainal Abidin Ahmad, 40, berkata semasa pembinaan jambatan tersebut masih berjalan lagi sudah ada bot nelayan yang rosak terkena batu konkrit, kontraktor tersebut berjanji akan membersihkannya apabila pembinaan siap nanti namun janji tinggal janji. Kontraktor terbabit seakan tidak menghiraukan masalah yang dihadapi nelayan walaupun sudah diberitahu berkali-kali sebelum ini.
            “Apabila siap, batu konkrit dan besi terus dibiarkan di dalam air, menunggu untuk merosakkan bot-bot nelayan,” katanya.
           Wartawan edisi timur membuat tinjaun dari atas jambatan tersebut dan mendapati longgokan batu konkrit dan besi pembinaan dapat dilihat dari atas jambatan walaupun air muara agak keruh, terdapat pelampung sebagai penanda kawasan berbahaya diletak oleh nelayan. Tinjauan wartawan juga mendapati ada di antara batu konkrit tersebut tinggi dari paras air. Mengikut nelayan di sini lagi, ianya dapat dilihat secara jelas apabila air surut dan agak jernih.
            Mohd Rafi Satar, 37, yang juga kerugian beribu ringgit berkata kerja membaiki bot memakan masa kerana peralatan bot yang rosak perlu ditempah terlebih dahulu dan oleh kerana terlalu kerap bot mereka mengalami kerosakan, ada diantara mereka tidak mampu lagi menanggung kos membaikinya.
          “Ada di antara kami terpaksa berhutang untuk menanggung kos membaiki bot dan yang amat menyedihkan nelayan tidak boleh turun kelaut sebulan lebih menunggu bot mereka siap dibaiki.
         “Kipas yang rosak bukannya boleh diganti serta merta, kami terpaksa membuat tempahan yang memakan masa berminggu-minggu dan kadang-kadang lebih sebulan, itupun kalau mempunyai wang yang cukup,” katanya lagi.
         Pihak berkuasa sepatutnya sudah lama mengambil langkah penyelesaian dengan cara memanggil kontraktor terbabit membuat kerja pembersihan semula, sikap lepas tangan dan tidak mengendah rungutan nelayan menyebabkan nelayan terus mengalami kerugian.
         “Sampai bila nelayan di sini harus menanggung kerugian beribu ringgit setiap kali bot rosak terlanggar batu dan besi di bawah jambatan tersebut, sedangkan jambatan ini sudah digunakan hampir setahun lalu,” katanya lagi.

1 ulasan:

  1. begitu cerita ....


    yang kita tidak mengetahui isinya..


    warnanya....

    rasanya......





    .......


    .....tiada siapa yang sudi memebritahu .......
    tanpa kita selongkar sendiri......



    selongkarlah...mencari......yang terjadi....

    BalasPadam