search berita di sini

Tangki air masjid menunggu pecah, syiling dikotori najis menunggu roboh

Tangki air masjid menunggu pecah, syiling dikotori najis menunggu roboh



‘Sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini, kami sebagai Ahli Jawatankuasa Masjid turut dipersalahkan sedangkan sudah bertahun aduan dibuat namun tiada apa-apa tindakan susulan diambil’
Oleh: Mohd Zawawi Mat Ail
bhkt@bhrian.com.my


Dungun: Penduduk di Kampung Santung di sini sedih dan bimbang keadaan masjid yang sentiasa dihidupkan dengan berbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan namun terlalu uzur dan membahayakan keselamatan ahli qariah dengan keadaan tangki air yang menunggu masa untuk roboh dan bumbung masjid pula robek hingga menjadi sarang kelawar dan berbau busuk.
             Masjid merupakan rumah Allah yang menjadi tempat menunaikan ibadah dan menjadi pusat kepada aktiviti kemasyarakatan, dengan kemurahan rahmat yang dianugerahkan tuhan dan tuntutan mengutamakan keutuhan institusi masjid dengan memenuhi keperluan untuk keselesaan, sudah sewajarnya keutamaannya melebihi keutamaan yang lain.
                    Menyedari perkara ini, faktor keselamatan dan keselesaan, penduduk di Kampung Santong menggesa pihak yang bertanggungjawab mengambil langkah segera membuat penambahbaikan masjid uzur yang sentiasa diimarahkan dengan pelbagai aktiviti itu.
                      Nordin Abu Bakar, 47, berkata kerja penambahbaikan yang tidak dilakukan di masjid tersebut semenjak dibina pada tahun 1986 hingga menjadi sebegitu uzur walaupun masjid-masjid yang dibina serentak dengannya di kampung yang lain amat mengecewakan penduduk di sini.
                      ‘Kami kesal tiada tindakan segera diambil pihak berwajib untuk membaiki kebocoran tangki air masjid walaupun berkali-kali ahli jawatankuasa masjid membuat aduan, hingga menyebabkan tangki tersebut berkarat, reput, boleh pecah bila-bila masa dan membahayakan keselamatan penduduk yang lalu lalang kerana ianya berdekatan dengan pintu masjid,’ katanya yang berharap tangki besi tersebut perlu ditukar segera dengan tangki yang lebih selamat.

                        Tinjauan Edisi Timur Berita Harian di masjid tersebut mendapati selain daripada berdepan dengan risiko tangki air yang bakal pecah, keadaan di dalam dan luar bangunan juga amat dhoif dan kurang selesa dengan bau busuk tahi kelawar yang menyucuk hidung dan karpet yang dibasahi hujan.
            Pengerusi JKKK Kampung Santong, Shafie Salleh, 53, yang juga Penasihat kepada AJK masjid berkenaan berkata atap masjid mula bocor semenjak 3 tahun lepas namun pada tahun ini lantai masjid boleh dikatakan sentiasa basah kerana hujan yang lebat dan berpanjangan berbanding tahun-tahun yang lepas
‘           Setiap kali hujan lebat turun berbelas besen diatur menadah air hujan daripada terus membasahi karpet yang memakan masa untuk kering dan berbau hapak walaupun hujan sudah berhenti berhari-hari lamanya.
          ‘Ruang syiling masjid dikotori najis kelawar dan burung yang membuat sarang setelah syiling yang berlubang dan terkopak dibiarkan tanpa dibaiki
           Beliau berkata, bau busuk menjadi semakin kuat bila musim hujan tiba kerana syiling dibasahi hujan dan udara menjadi lembab.
          ‘Kami terpaksa menghidu bau najis yang kurang menyenangkan dan khuatir dengan kebersihan masjid setiap kali air menitik dari syiling yang dikotori najis kelawar.
         ‘Sebelum ini pihak JKR beberapa kali datang meninjau keadaan keadaan masalah yang uzur tetapi sudah bertahun tiada apa penambahbaikan dibuat, masjid semakin uzur dan keadaan semakin hari semakin membimbangkan keselamatan penduduk di sini,’ katanya.
            Bilal masjid Che Ku Ngah Che Ku Mat, 53, berkata beliau bimbang dengan keadaan masjid yang sebegini dhoif, sedikit sebanyak kegiatan aktiviti mengimarahkan masjid turut akan terganggu terutama sekali kedatangan pihak luar untuk bersama-sama penduduk kampung di masjid ini.
            Beliau berkata, agensi-agensi kerajaan badan-badan swasta seperti Bomba dan Penyelamat Paka, PEKIDA dan lain-lain seringkali menganjurkan aktiviti bersama-sama penduduk kampung di masjid tersebut.
           ‘Diharap pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi membuat kerja membaikpulih keadaan masjid yang terlalu uzur ini terutama sekali mengganti tangki air dengan segera bagi mengelakkan terjadi kejadian yang tidak diingini.
           ‘sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini, kami sebagai ahli jawatankuasa masjid turut dipersalahkan sedangkan sudah bertahun aduan dibuat namun tiada apa-apa tindakan susulan diambil.
           ‘Tiada gunanya tindakan diambil selepas berlaku kejadian yang tidak diingini,’ katanya penuh kesal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan