Oleh Mohd Zawawi Mat Ail
Dungun: Menyedari kepentingan menangani keganasan terhadap kaum wanita, lebih 200 penjawat awam dan ahli NGO menghadiri Seminar Menangani Keganasan Terhadap Wanita yang dianjurkan oleh Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Terengganu di Dewan Utama Majlis Perbandaran Dungun di sini baru-baru ini.
Kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat daerah Dungun, Mohd Zuhardi Mohyiddin berkata masyarakat memahami keganasan hanya pada fizikal sahaja.
“Selain daripada keganasan fizikal, wanita juga boleh mengalami keganasan seksual, sosial, kewangan dan psikologi ataupun emosi.
“Keganasan seksual bukan sahaja perbuatan rogol sahaja, gerak isyarat, ucapan berunsur seks seperti ditempat kerja juga dikategorikan sebagai keganasan seksual.
“Keganasan sosial pula berlaku apabila wanita sering didorong untuk bergantung kepada pasangan masing dan diasingkan dari mendapat sokongan luar. Malah wanita ini akan dikongkong serta dilarang daripada keluar untuk bekerja atau mengetahui dunia luar.
Wanita juga sering menjadi mangsa keganasan kewangan yang kebiasaannya dilakukan oleh pihak suami dengan berbagai cara, contohnya suami melarang isteri menyimpan wang pendapatannya sendiri.
“Keganasan emosi pula tidak nampak di mata kasar, mangsa berasa tertekan dan berkemungkinan dalam jangka masa yang panjang akan hilang upaya untuk mengawal emosinya sendiri akibat mengalami tekanan dicaci maki, disindir dan sebagainya,” katanya.
Kebanyakan orang ramai tidak mengetahui tindakan-tindakan yang sepatutnya diambil bila berhadapan dengan situasi keganasan.
“Tidak semestinya sesuatu kes keganasan akan berakhir di mahkamah, terdapat agensi-agensi yang boleh membantu mangsa yang mengalami masalah.
“orang ramai kurang membuat rujukan masalah keganasan yang dialami kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana beranggapan JKM hanya berfungi untuk menyalurkan bantuan kewangan dan mengendali rumah kebajikan sahaja.
Di dalam usaha membantu mangsa keganasan pihak JKM menempatkan kaunselor di setiap pejabat JKM di setiap daerah untuk memberi khidmat kaunseling dan sebagainya.
JKM juga banyak menangani kes-kes melibatkan remaja bermasalah yang dirujuk oleh ibu bapa remaja itu sendiri dan juga pihak polis.
Pensyarah UiTM Cawangan Dungun, Wan Anuar Wan Mamat di dalam pembentangannya berkata, penerapan nilai-nilai islam dalam kehidupan dapat membendung terjadinya jenayah keganasan dan jenayah yang lain. Di sisi islam, wanita dijaga kehormatannya dan tidak diperlakukan dengan sesuka hati.
Perbuatan panas baran suami yang sering menyebabkan berlakunya penderaan pada kaum wanita boleh dielak, jika seseorang itu mendidik diri dengan melakukan amalan keagamaan dan mendekatkan diri pada Allah.
Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Terengganu berkata, tanggungjawab menangani keganasan terhadap wanita bukan sahaja menjadi tanggungjawab agensi kerajaan sahaja, orang awam juga perlu bersikap proaktif berusaha menanganinya bersama-sama.
Seorang peserta Mohd Khir, 43, berkata seminar sebegini perlu diadakan lebih kerap bagi kesedaran kepada masyarakat terutamanya golongan yang sudah berumahtangga.
“Program ini juga memberi kesedaran kepada masyarakat akan pentingnya pendidikan asas dan keagamaan dari rumah lagi bagi membendung keganasan terutamanya terhadap wanita,” katanya.
Zuraida Harun, 28, berkata dengan menghadiri seminar ini peserta dapat mengetahui kewujudan agensi-agensi tertentu untuk membantu individu yang menghadapi masalah keganasan.
Suzana Sulong, 27, pula berkata kebanyakan wanita bersikap pasif apabila mengalami keganasan kerana tidak mahu berlakunya perceraian yang menyebabkan nasib mereka dan anak-anak terbiar, namun sikap begini seringkali memerangkap diri sendiri hingga hilang pertimbangan diri dan melakukan sesuatu yang di luar kawalan.
“Seharusnya wanita yang menjadi maangsa keganasan memberanikan diri membuat keputusan dan mendapatkan khidmat nasihat orang ketiga ataupun agensi-agensi berkaitan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan