bhkt@bharian.com.my
Dungun: Menyedari kadar perceraian yang tinggi di kalangan pasangan yang usia perkahwinan 5 tahun kebawah YPK menganjurkan program khusus untuk golongan ini dengan menerapkan ilmu dan kemahiran pengukuhan institusi kekeluargaan.
Menurut Penceramah program Pasca Perkahwinan Keluargaku Tersayang anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu dari Syarikat. Impact Learning Resources Sdn. Bhd, Tuan Haji Ridzuan Mohd Sagir berkata di antara penyebab utama kadar perceraian tinggi dikalangan pasangan perkahwinan di bawah 5 tahun, pasangan gagal membuat perancangan kewangan yang baik dan kurang ilmu keibubapaan.
“Kehidupan berumahtangga memerlukan pasangan mengenali diri dan potensi diri terlebih dahulu sebelum dapat menegenali diri pasangan masing-masing, tanpa mengenali diri sendiri, bagaimana seseorang itu boleh mengenali diri orang lain,” kata beliau sambil mengatakan itu adalah perkara utama yang beliau tekankan setiap kali memberi ceramah kepada pasangan yang berkahwin.
Aspek ketrampilan diri dalam membentuk sebuah keluarga yang harmoni amat penting terutama ketrampilan dalam mendidik anak-anak dan perlu difahami setiap ahli dalam sesebuah keluarga mempunyai tanggungjawab masing-masing yang harus difahami, peranan sebagai anak, peranan sebagai suami atau isteri dan juga peranan sebagai ibu atau bapa.
“Secara umum ibu atau bapa mengetahui apa peranan mereka tetapi banyak berlaku ibu atau bapa gagal memainkan peranan untuk menyerlahkan kasih saying kepada ahli keluarga yang lain, ini menyebabkan hubungan kekeluargaan longgar dan boleh menimbulkan suasana yang tidak harmoni dalam sesebuah keluarga.
Dari sudut psikologi tingkah laku manusia turut dipengaruhi oleh faktor umur samada lelaki ataupun perempuan, oleh itu pasangan perlu memahami peranan mereka dengan perubahan di persekitaran mereka.
“Masalah kewangan seringkali menjadi punca berlakunya perselisihan, di sinilah pentingnya perancangan kewangan yang baik.
Ahmad Khairullizan Alias, 25, salah seorang peserta yang sudah berkahwin selama 4 tahun berkata program ini memberi banyak ilmu dan kemahiran berkaitan keibubapaan, hubungan suami isteri dan banyak lagi.
“Saya berasa amat bertuah dapat hadir ke program ini bersama 3 lagi pasangan sepejabat di Pejabat Daerah Dungun setelah disyorkan oleh majikan. “Program kekeluargaan bukan hanya perlu untuk pasangan yang belum berkahwin sahaja, pasangan yang sudah berkahwin pun patut diberi pendedahan juga,” katanya.
Nurul Nadiah Muhamad, 23, berkata masih ramai pasangan tidak mengetahui adanya program kekeluargaan untuk pasangan yang sudah berkahwin sebegini.
“Penglibatan pemimpin masyarakat di peringkat kampung perlu untuk mewar-warkan maklumat ini supaya lebih ramai paeserta dapat menghadirkan diri,” katanya.
Program Pasca Perkahwinan Keluargaku Tersayang anjuran YPK Terengganu yang berlangsung di Mayang Sari Resort Dungun telah dihadiri 60 orang peserta yang usia perkahwinan mereka di bawah 5 tahun.
Pegawai Yayasan Pembangunan Keluarga Dungun, Salbiah Ramli berkata program ini adalah salah satu dari program Institusi Keluarga yang dianjurankan YPK.
“Kita juga mempunyai program Pasca Perkahwinan percuma untuk pasangan yang sudah berkahwin selama 3 hari 2 malam, dipanggil “Second Honeymoon”, peserta akan mendapat ilmu dan kemahiran kekeluargaan yang lebih komprehensif lagi. Yang terbaru kita mengadakan di Pulau Kapas dan penceramah yang dijemput terdiri daripada penceramah Pejabat Agama, Pejabat Pelajaran, LPPKN dan Pakar Klinikal dan Kesihatan, Datuk Dr. Wan Halim Othman.
Beliau berharap orang ramai tidak melepaskan peluang ini yang diadakan 2 kali setahun di setiap kawasan parlimen. Orang ramai boleh datang ke pejabat YPK di setiap daerah ataupun pejabat agama untuk mendapat maklumat.
“Selain itu kita juga telah memaklumkan program ini kepada Ketua-ketua Jabatan dan Pengerusi JKK di setiap kampung untuk disamapaikan kepada orang ramai,” kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan