Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Balai Besar II, Jahabar Jainul Abideen Shahul Hamid berkata dengan tertubuhnya KRT di kawasan beliau, penduduk setempat dapat bekerjasama dalam menangani masalah sosial dan menguatkan lagi ikatan kejiranan.
“Alhamdulillah, penduduk di sini memberi komitmen yang tinggi dengan menyertai program-program yang dianjurkan dan melalui biro-biro yang dilantik, kami menganjurkan berbagai program seperti Skim Rondaan Sukarela (SRS), kursus keibubapaan, kursus pengurusan dan pentadbiran, program cakna jiran, sambutan maulidurrasul dan lain-lain lagi.
“Melalui program cakna jiran contohnya, ahli masyarakat di sini dapat mengenal antara satu sama lain, bertukar-tukar pendapat dan mengeratkan ikatan silaturrahim antar satu sama lain. Selain itu KRT Balai Besar II juga menghargai warga setempat dengan memberi sumbangan kepada pelajar-pelajar cemerlang, membantu golongan yang memerlukan dan sebagainya,” katanya.
Beliau juga bercadang untuk memperbanyakkan aktiviti khususnya kepada golongan muda supaya mereka tidak terlibat dengan gejala-gejala yang tidak sihat, contohnya mengadakan liga bola sepak di antara KRT-KRT di daerah Dungun.
Rosli Ahmad, 27, berkata dengan adanya kerjasama penduduk terutama sekali dalam menjayakan Skim Rondaan Sukarela (SRS) pada waktu malam, kegiatan-kegiatan yang tidak diingini boleh dikurangkan.
Pegawai Perpaduan dan Intergrasi Nasional daerah Dungun, Bahruddin Abd Ghani berkata jabatannya sentiasa memberi galakan kepada masyarakat setempat menjalankan aktiviti kemasyarakatan dan KRT Balai Besar II salah satu KRT yang bergiat aktif di daerah Dungun.
“Sebagai menghargai komitmen ahli KRT Balai Besar II yang dipengerusikan oleh Encik Jahabar Jainul Abideen Shahul Hamid, pihak Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional bersetuju membiayai sebahagian kos lawatan mereka ke Sabah dan Sarawak seramai 14 orang baru-baru ini.
Di antara objektif Lawatan Intergrasi ke Sabah dan Sarawak ini ialah untuk membolehkan AJK KRT Balai Besar II bertukar-tukar pendapat mengenai pengurusan dengan KRT dan menjalin silaturrahim antara dengan ahli KRT di Malaysia Timur.
Sehingga kini sebanyak 76 KRT ditubuhkan dan jumlah ini akan bertamabah berdasarkan bilangan permohonan baru yang kita terima dari semasa ke semasa. Beliau juga berharap ahli masyarakat memberi kerjasama menjayakan program-program kemasyarakatan untuk mengatasi masalah sosial yang semakin meningkat dan mengeratkan perpaduan dalam masyarakat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan