search berita di sini

Tabarru’ (Khairat Kematian) ANGKASA meringankan beban kewangan pewaris


 Tabarru’ (Khairat Kematian) ANGKASA meringankan beban kewangan pewaris

Ketengah Jaya:                 Kesulitan hidup dua keluarga di Felda Kerteh 4 di sini setelah kematian ketua keluarga yang menjadi tempat bergantung, sedikit terubat dengan penerimaan cek pampasan skim Tabarru’ (Khairat Kematian) ANGKASA baru-baru ini.
                Siti Nurhidayah Mohd Jaafar, 21, berkata pemergian mengejut bapa beliau dalam satu kemalangan jalan raya pada September lalu memberi ujian berat kepada beliau lima beradik yang juga tidak tinggal sebumbung dengan ibu setelah berpisah dengan bapa mereka beberapa tahun yang lalu.
                Beliau yang masih menuntut di peringkat ijazah pertama dan anak kedua dari lima adik beradik itu kini bergantung kepada pendapatan tidak seberapa abangnya yang bekerja sebagai buruh ladang dan hasil ladang untuk menyara kehidupan dan persekolah beliau dan adik-adik beliau.
                Namun begitu beban kewangan yang mereka hadapi sedikit terubat dengan penerimaan pampasan Skim Tabarru’ (Khairat Kematian) ANGKASA sebanyak RM 11,000 yang disampaikan oleh Timbalan Yang Dipertua Angkasa, Dato’Abdul Fattah Abdullah di Felda Kerteh 4 di sini baru-baru ini.
                “Tiada terucap kesyukuran saya dengan penerimaan wang pampasan Khairat Kematian ini lebih-lebih lagi di saat kami adik beradik kehilangan tempat bergantung sebegini.
                “Penerimaan wang pampasan ini juga meringankan beban kewangan untuk persekolahan adik-adik yang menjadi amanah untuk saya memastikan adik-adik tidak terabai dan menjadi orang berguna,” kata beliau yang kini berada di tahun pertama pengajian Sains Kaunseling dengan Kepujian UUM.
                Pengurus Felda Kerteh 4, Mohd Najib Othman berkata, sehingga kini seramai 6 waris yang kematian ahli keluarga telah menerima pampasan di bawah skim Tabarru’ semenjak Koperasi Felda Kerteh 4 menyertai Skim Tabarru’ (Kairat Kematian) dan 2 lagi permohonan pampasan masih dalam proses kelulusan.
                “Sekarang ini seramai 309 ahli Koperasi Felda Kerteh 4 dilindungi Skim Tabarru’ dengan caruman tahunan sebanyak RM 15.00 setahun dan dibayar koperasi hasil daripada keuntungan koperasi sendiri,” tambahnya.
                 Majlis penampaian cek skim Tabarru’ yang disampaikan oleh Timbalan Yang Dipertua Angkasa, Dato’Abdul Fattah Abdullah turut dihadiri Adun Paka, Zakaria @ Mohd Ariffin Abdullah, Pegawai Perhubungan ANGKASA negeri Terengganu, Mohd Jais Hassan dan wakil Etika Takaful Berhad.
            Timbalan Yang Dipertua Angkatan Koperasi Kebangsaa Malaysia Berhad (ANGKASA), Dato’ Abdul Fatah Abdullah berkata koperasi kini sewajarnya lebih prihatin untuk menjaga kebajikan kepada para anggotanya justeru itu para pemimpin koperasi di seluruh negara perlu mengambil pendekatan supaya para anggota mereka mendapat perindungan tabarru’yang dapat membantu waris anggota mereka apabila mereka meninggal dunia.
                “Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) mensasarkan seramai 1.5 juta anggota koperasi ahlinya menertai Skim Tabarru’ (khairat kematian) ANGKASA yang dilaksanakan dengan kerjasama syarikat takaful menjelang akhir tahun 2010 dan sehingga kini seramai kira-kira 120,000 koperator daripada 158 koperasi diseluruh negara telah menyertai skim ini.
                Tambah beliau, melalui skim Tabarru’ ANGKASA para anggota koperasi yang berumur 16 hingga 65 tahun boleh menyertai skim ini dengan mencarum sebnyak RM5 setahun. Bagi caruman sebanyak itu waris anggota koperasi akan menerima bayaran khairat kematian dan belanja pengebumian sebanyak RM3, 800 dan seseorang ahli membuat caruman sebanyak RM25 setahun dan jika mereka meninggal dunia, waris akan mendapat sebanyak RM19,000.
            “Bagi anggota koperasi yang berumur 66 hingga 80 tahun pula, satu plan perlindungan juga turut disediakan dengan caruman tahunan sebanyak RM20 dan semua pilihan skim ini adalah dibuat oleh anggota koperasi berdasarkan pilihan masing-masing. Sehingga kini sebanyak 3.5 juta telah dibayar kepada waris anggota koperasi yang meningal dunia dan ini merupakan sumbangan yang dapat diberikan oleh ANGKASA kepada anggota koperasi.
                Beliau berharap agar koperasi-koperasi diseluruh negara menyertai skim ini supaya nasib waris anggota koperasi terbela.
               
               
               

Tiada ulasan:

Catat Ulasan