search berita di sini

Timur: Taman busuk


Oleh Mohd Zawawi Mat Ail

2010/05/26
TAKUNGAN air longkang melimpah sekitar jalan di kawasan sekitar perumahan Taman Paka Indah di Kampung Gemia, Dungun menyebabkan bau busuk.
TAKUNGAN air longkang melimpah sekitar jalan di kawasan sekitar perumahan Taman Paka Indah di Kampung Gemia, Dungun menyebabkan bau busuk.
Penduduk hidup dalam persekitaran tak sihat sejak lebih 10 tahun

PAKA: Sejak lebih 10 tahun lalu, penduduk Taman Paka Indah, Kampung Gemia, di sini, terpaksa hidup dalam persekitaran kurang sihat dan menghidu bau busuk akibat sistem saliran tersumbat sehingga mengundang pelbagai penyakit terutama demam denggi.

Keadaan itu berpunca daripada longkang tersumbat berikutan tiada saliran untuk air longkang keluar cukup menjejaskan keselesaan lebih 60 keluarga di perumahan itu, yang sudah tidak mampu lagi bersabar berdepan masalah itu.
Tinjauan Edisi Timur mendapati, longkang berhampiran rumah penduduk yang dibina pihak pemaju di sekeliling perumahan itu tidak dapat mengalir keluar menyebabkan longkang dipenuhi air berbau busuk dan berkeladak, malah lebih menyedihkan sehingga melimpah ke atas jalan.
Penduduk, Manan Osman, 47, berkata selama lebih 10 tahun bersabar, mereka sudah tidak boleh bertahan dan menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pihak berkenaan mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan masalah itu dengan segera.

“Berdepan dengan masalah bau busuk bukanlah masalah baru kepada penduduk di sini kerana sudah lebih 10 tahun masalah ini berlaku, sejak perumahan ini dibuka.

“Penduduk tiada pilihan untuk mengelak daripada menghidu bau busuk air longkang. Apa yang boleh dibuat, hanya menutup tingkap dan pintu rumah sepanjang masa.

“Aduan kami tidak diendahkan pihak berkenaan. Kami merayu supaya mereka segera mengambil tindakan,” katanya.
Penduduk, Husin Malek, 44, berkata, keadaan menjadi bertambah teruk apabila hujan menyebabkan air longkang yang melimpah ke atas jalan mengeluarkan bau busuk hingga ke dalam rumah.

“Keadaan jalan yang becak dengan air longkang yang dipenuhi air kotor kehijauan dan berbau busuk meresahkan penduduk. Sudahlah terpaksa menghidu bau busuk, malam hari pula berperang dengan nyamuk Aedes yang cepat membiak dalam air bertakung di longkang itu,” katanya.

Penduduk, Fatimah Hasan, berkata, penduduk tinggal dalam keadaan tidak selesa dan bimbang lebih-lebih lagi pada musim hujan dengan kehadiran lalat yang boleh mencemarkan bahan makanan dan minuman,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Gemia, Mustofa Ismail, 70, berkata, beliau beberapa kali membangkitkan masalah yang dihadapi penduduk kepada PBT, namun sehingga kini tiada jalan penyelesaian diambil bagi mengalirkan air longkang yang bertakung di sekeliling kawasan perumahan itu.

“Kami difahamkan, masalah ini tidak dapat diselesaikan kerana tiada tanah rizab kerajaan untuk dibina longkang jejari dan ketiadaan longkang utama untuk pengaliran air ke Sungai Paka,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka, Mohd Ariffin Abdullah berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan difahamkan akan melantik syarikat perunding bagi membuat kajian pembinaan longkang jejari untuk mengalirkan air bertakung.
Komen Anda

Tiada ulasan:

Catat Ulasan