search berita di sini

Timur: Angkara vandalisme
Oleh Mohd Zawawi Mat Ail

2010/06/21
DUNGUN: Flet Bijangga di Jalan Bijangga, di sini, dibina bertujuan menyediakan tempat tinggal untuk keluarga kurang berkemampuan, bagaimanapun, entah apa silapnya, sebahagian rumah pangsa itu kini mengalami kerosakan teruk akibat vandalisme dan terbiar tanpa boleh dimanfaatkan.

Tinjauan Edisi Timur ke rumah pangsa milik Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) berkenaan mendapati, lebih 50 unit rumah kosong di situ tidak dibenarkan disewa kerana rosak teruk, termasuk cermin tingkap pecah, tandas tidak dapat digunakan dan dipenuhi sampah, selain dijadikan sarang maksiat dan ‘port’ menghisap ganja oleh penagih.

Sekurang-kurangnya 10 unit rumah di setiap lima blok rumah pangsa itu mengalami kerosakan teruk dan tidak boleh disewakan kepada golongan yang layak dan ia ternyata satu kerugian sehingga menimbulkan rungutan orang ramai.
Pekerja swasta, Wan Affendi Wan Za’bar, 34, berkata dia sudah beberapa kali ke pejabat pengurusan rumah pangsa berkenaan bertanyakan rumah kosong untuk disewa sejak beberapa bulan lalu, namun hampa selepas diberitahu rumah kosong yang ada tidak dapat disewakan kerana mengalami kerosakan yang teruk.

“Tengok keadaan rumah itu memang teruk kerana menjadi mangsa vandalisme. Jika ada penyewa hendak duduk, perlu berhabis duit pula untuk baiki kerosakan. Sayang sekali kerana rumah ini dibina bagi membantu golongan kurang berkemampuan yang tiada tempat tinggal sempurna.

“Nampaknya, ia tidak mencapai matlamatnya. Bayangkan hampir 10 unit rumah di setiap blok tidak boleh disewa menjadikan jumlah keseluruhan kira-kira 50 unit yang terbiar.

“Jika disewa, pihak berkenaan juga mendapat pulangannya dan masalah golongan kurang berkemampuan yang tiada rumah juga dapat diatasi,” katanya.
Seorang penghuni yang ditemui dan hanya mahu dikenali sebagai Zakaria berkata, kebanyakan rumah ditinggalkan kosong oleh penyewa tanpa memaklumkan pihak pengurusan, menyebabkan rumah yang tidak berkunci menjadi mangsa vandalisme dan kegiatan tidak bermoral individu tertentu.

“Mereka pindah, tetapi tidak maklumkan kepada pejabat. Jadi, apabila pejabat tidak tahu rumah ini sudah kosong, ia terbiar dan diceroboh oleh budak nakal. Mulanya mereka hanya bermain di situ, tetapi lama kelamaan keadaan rumah menjadi semakin teruk dan musnah akibat vandalisme,” katanya.

Pencari rumah sewa, Husin Ali, 39, berkata, dia beberapa kali bertanyakan rumah kosong di rumah pangsa itu untuk disewa, namun pegawai yang ditemui memberitahu rumah terbabit tidak dibenarkan untuk disewa kerana mengalami kerosakan dan akan dibaiki tidak lama lagi.

“Saya harap, rumah yang rosak dibaiki segera supaya golongan kurang berkemampuan seperti saya yang bekerja sebagai tukang paip dapat menyewanya,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan