Timur: Tandas tak boleh guna Oleh Mohd Zawawi Mat Ail
2010/06/15
IWK perlu ambil tindakan individu enggan bayar bil
DUNGUN: Ibarat nila setitik, rosak susu sebelanga. Itulah dilema dialami penduduk Rumah Kos Rendah Tiga, Jalan Merbok Kampung Alor Tembesu, di sini yang terkilan serta tidak bersetuju dengan tindakan Indah Water Konsortium (IWK) yang enggan menjalankan kerja penyelenggaraan tangki septik, sehingga saluran najis itu penuh dan tersumbat.
Lebih menyedihkan, kira-kira 12 keluarga di perumahan berkenaan terpaksa berkejar ke Masjid Tengku Intan Zaharah, Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Dungun serta SK Sultan Omar setiap kali mahu membuang air besar dan kecil, kerana tandas di rumah mereka tidak boleh digunakan langsung.
Penduduk mendakwa, kerja pembersihan saliran dan tangki septik utama yang tidak dijalankan mengikut jadual itu menyebabkan saliran selalu tersumbat dan tangki najis utama penuh, sehingga mereka terpaksa tinggal dalam keadaan tidak selesa dan menghidu bau najis.
Penduduk, Atikah Mohd Noor, 42, berkata tidak tahan dengan masalah dihadapi, pada 1 Jun lalu dia menghubungi pejabat IWK Kuala Terengganu meminta kerja mengepam tangki najis dilakukan, namun pihak IWK memaklumkan ia tidak boleh dijalankan kerana beberapa penduduk yang berkongsi tangki septik tidak membayar bil caj perkhidmatan sebanyak RM16 bagi setiap enam bulan.
"Mengapa kami yang membayar caj berkenaan dinafikan hak daripada mendapat perkhidmatan kerja pembersihan sisa kumbahan, sedangkan kami tidak pernah gagal membayar setiap bil dihantar setiap enam bulan.
"Sejak IWK mengambil alih kerja pengurusan tangki septik, saya dan beberapa jiran sudah dua kali memanggil pihak persendirian mengorek saliran tersumbat dan terpaksa membelanjakan RM300,” katanya.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Che Kah, 50-an, berkata, dia meminta pihak bertanggungjawab mengeluarkan senarai nama penduduk yang enggan membayar bil perkhidmatan serta mengambil tindakan terhadap individu terbabit.
"Pihak IWK perlu berbincang dan mengambil tindakan tegas kepada penduduk yang enggan membayar bil perkhidmatan, bukan menghukum kami dengan tidak membersihkan tangki dan saliran septik,” katanya.
Penduduk, Azman Harun, 45, berkata, dia sekeluarga sudah tidak tahan tinggal dalam keadaan yang menyeksakan dengan menghidu bau najis serta terpaksa berulang ke masjid dan sekolah setiap kali ingin membuang air besar dan kecil.
"Keadaan ini sangat menyulitkan keluarga yang mempunyai anak kecil dan warga tua, apatah lagi yang mempunyai ahli keluarga kurang sihat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan