search berita di sini

Timur: Terowong Bukit Tebuk terbiar
Oleh Mohd Zawawi Mat Ail
bhkt@bharian.com.my
2010/06/15

Tinggalan sejarah lombong bijih besi wajar dipulihara

DUNGUN: Tiada sikap prihatin. Inilah keadaan Bukit Tebuk yang menempatkan sebuah terowong bersejarah yang pernah digunakan sebagai laluan kereta api mengangkut bijih besi dari Bukit Besi ke pelabuhan Sura Jeti.
Terowong sepanjang 15 meter yang dibina pada 1935 itu kini dicemari contengan cat dan sekitarnya dipenuhi sampah yang dibuang pihak tidak bertanggungjawab.
Penggunaan terowong itu sebagai laluan kereta api dihentikan selepas lombong bijih besi ditutup sekitar tahun 1970-an, tetapi sejak itu laluan itu masih terus digunakan penduduk setempat untuk berulang alik dari Bukit Besi ke bandar Dungun.

Tinjauan Edisi Timur mendapati terowong yang sudah diwartakan sebagai lokasi bersejarah itu bagaikan terabai tanpa penjagaan.

Penduduk, Yahaya Musa, 55, berkata keadaan jalan dalam terowong yang rosak dan berlopak berbahaya kepada pengguna kenderaan yang melalui terowong itu.

“Terowong ini menjadi laluan alternatif penduduk di Kampung Padang Jambu dan Nibong untuk ke jalan utama Kuantan-Kuala Terengganu bagi mengelak melalui pusat bandar yang sibuk dan banyak lampu isyarat.
“Selain daripada jalan yang berlopak, lampu dalam terowong juga sering rosak dan ini menakutkan orang ramai untuk menggunakannya terutama pada waktu malam,” katanya.

Pencinta sejarah yang ditemui di terowong itu, Wan Noraini Wan Rahim, 37, berkata pihak bertanggungjawab perlu membuat pemantauan dan mengambil langkah pemuliharaan kerana lokasi yang dicemari sampah.

“Terowong Bukit Tebuk mempunyai nilai sejarah kerana inilah satu-satunya terowong yang menjadi laluan kereta api yang mengangkut bijih besi dan pelombong suatu ketika dulu dan masih kekal hingga hari ini walaupun lombong di Bukit Besi sudah ditutup,” katanya.

Rakannya, Mustafa Ismail, 45, berkata, beliau percaya dengan adanya inisiatif daripada pihak yang bertanggungjawab, terowong Bukit Tebuk akan dikunjungi ramai terutama pencinta sejarah.

“Selain daripada mengambil inisiatif memastikan kawasan sekitar terowong dalam keadaan bersih, pihak berkuasa juga perlu menggiatkan lagi promosi kerana masih ramai yang tidak tahu kewujudan sebuah terowong bersejarah ini,” katanya.

Penduduk yang pernah bekerja sebagai pelombong, Maimon Deraman, 67, berkata dia terkilan melihat terowong yang menyimpan pelbagai memori berharga kepada bekas pelombong seolah-olah tidak bernilai di mata generasi sekarang.

“Bagi mengelak kawasan di sekitar terowong daripada terus dicemari sampah, pihak berkuasa tempatan perlu mengambil tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan