Jalan pantai Paka sempit, berdebu
Oleh Mohd Zawawi Mat Ail
PAKA: Pantai Paka yang tersohor dan menjadi satu-satunya pantai kepada penduduk Paka untuk bersantai bersama keluarga tidak segah namanya dengan keadaan jalan di sepanjang pantai itu yang berlopak manakala 400 meter jalan yang dibiarkan tidak berturap hampir setahun menimbul masalah kepada pengunjung pantai itu.
Keadaan jalan tidak berturap dan berbatu itu bukan sahaja membahayakan keselamatan pengunjung malah menjadi rungutan kepada para pengunjung dan para peniaga yang membuka warung di tepi pantai.
Tinjauan Edisi Timur mendapati debu kuning berterbangan hingga ke dalam warung-warung peniaga di tepi jalan dan perumahan penduduk yang hanya 100 meter daripada jalan berhampiran pantai itu.
Tinjauan juga mendapati kiri dan kanan bahu jalan di kawasan sebuah pembentung jalan roboh dan membahayakan keselamatan pengguna kenderaan kerana jalan bercerun dalam lebih satu meter.
Peniaga warung yang dikenali sebagai Pok Leh, berkata, debu yang berterbangan hingga ke dalam kedai bukan sahaja mengotorkan malah turut menjejaskan jualan beliau kerana pengunjung makin berkurangan.
“Saya hairan mengapa jalan sepanjang 400 meter ini dibiarkan tidak berturap semenjak hampir setahun lalu sedangkan inilah satu-satunya jalan yang dilalui pengunjung di pantai ini.
“Oleh kerana kekurangan kawasan bersantai di Paka dan inilah satu-satunya pantai di Paka yang mempunyai lebih 50,000 penduduk, pantai ini tetap dikunjungi ramai.
Pengunjung, Tengku Ibrahim Tengku Hasyim, 42, berkata, sepatutnya pihak berwajib menyediakan infrastruktur dan kemudahan yang mencukupi termasuk membina jalan yang luas dan selesa memandangkan kekurangan kawasan riadah dan inilah satu-satunya pantai yang menjadi tempat orang ramai bersantai bersama keluarga, bukan membiarkan jalan berdebu seperti ini.
“Pantai yang sebegini cantik seolah-olah tidak dihargai pihak berwajib,” katanya kesal.
Hadani Hashim, 43, berkata, keadaan jalan di sepanjang pantai itu yang sempit dan boleh memuatkan hanya sebuah kereta sahaja dalam satu-satu masa amat merbahaya kepada keselamatan pengguna kenderaan terutamanya penunggang motosikal.
“Saya sendiri pernah hampir-hampir terjatuh ke bawah jalan setelah dihimpit sebuah kenderaan yang datang dari arah bertentangan.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kuala Paka, Mokhtar Yusof, 54, berkata, jalan yang dibina perlu diperbesarkan bagi memastikan keselamatan pengunjung lebih terjamin dan untuk keselesaan juga.
“Pelebaran jalan dan penurapan jalan bukan sahaja untuk keselesaan pengunjung malah dengan adanya kemudahan yang selesa bilangan para pengunjung ke pantai ini akan bertambah dan sekaligus dapat membuka peluang perniagaan juga meningkatkan pendapatan penduduk setempat.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Mohd Ariffin Abdullah, berkata, kerja penurapan jalan sepanjang 400 meter perlu dilaksanakan segera bagi menyelesai masalah debu dan keselesaan pengunjung.
Begitu juga dengan pembinaan benteng di kawasan pembentung bagi mengelak bahu jalan terus runtuh yang berisiko menyebabkan jalan terputus apabila hujan berterusan turun.
“Walaupun sebahagian besar tanah berhampiran pantai dimiliki oleh pihak persendirian, usaha membangunkan kemudahan masih boleh dilakukan kerana bahagian seberang jalah di sebelah pantai adalah milik kerajaan.
“Kita berharap pihak berkuasa tempatan dapat menyediakan kemudahan yang sewajarnya dengan mengekalkan struktur bangunan perniagaan makanan yang diusahakan sebilangan penduduk sekarang ini,” katanya yang ditemui baru-baru ini.END
cAPTION:
0779: jalan pantai paka berlopak
0795; 0796:0807: jalan tidak berturap menyebabkan jalan berdebu
0634; MOkhtar Yusof, JKKK KUala Paka
0675; jalan sempit yang tidak berturap perlu dibesarkan untuk a keselamtan pengunjung pantai paka
Tiada ulasan:
Catat Ulasan