Usahawan kraftangan warga emas ingin luas pasaran melalui internet
Oleh Mohd Zawawi Mat Ail
terengganukuonline.blogspot.com
Terengganu: Bermodalkan pengalaman mengambil upah menjual barang kraftangan di sebuah bangsal menjual keropok lekor di tepi jalan selama 3 tahun, Indon Zakaria, 60, memberanikan diri melabur wang simpanan yang dikumpul sebanyak RM 2000 untuk memulakan perniagaan kraftangan sendiri kira-kira tujuh tahun yang lalu di Kampung Kelulut Marang.
Beliau berkata, pada mulanya beliau hanya mengambil upah menjual barangan kraftangan di bangsal menjual keropok yang dibina berdekatan rumahnya.
Setelah tiga tahun mengambil upah menjual barangan kraftangan dan menyedari bahawa perniagaan kraftangan adalah suatu perniagaan yang menguntungkan beliau bertekad mengguna duit yang ada dalam simpanannya hasil jualan keropok lekor bagi dijadikan modal membeli barang kraftangan dari penduduk kampung di sekitar daerah Marang, Penjara Marang dan Rumah Kebajikan Masyarakat Orang Kurang Upaya Marang.
Kecekalan yang ditunjukkan warga emas yang juga seorang ibu tunggal membuahkan hasil apabila perniagaan menjual barang kraftangan berasaskan rotan dan mengkuang semakin maju dari tahun ke tahun hingga kedainya menjadi salah satu kedai yang menjadi tumpuan peminat kraftangan di daerah Marang.
Bangsal kecil di hadapan rumah yang menjadi tempat beliau memulakan perniagaan tujuh tahun lalu kini berganti kedai panjang yang menyediakan pelbagai jenis barang kraftangan bermula dari barang kecil seperti bekas telur hinggalah kepada kerusi rotan yang ditawar pada harga ratusan ringgit.
Indon berkata, beliau menawarkan barang kraftangan bukan sahaja berasaskan rotan dan mengkuang sahaja malah kedai beliau juga menyediakan barang berasaskan teras kayu, buluh, manik, upih pinang, kerang dan juga daun sal.
Minat mengusahakan perniagaan kraftangan turut dikongsi anak-anak beliau yang bersama-sama memajukan perniagaan beliau dengan memperkenalkan beberapa barangan yang dihasilkan sendiri iaitu wau bulan berkain batik, rak bawang bertingkat dan beberapa barang kraftangan lagi.
“Produk wau bulan berkain batik dan rak bawang bertingkat yang berasaskan rotan dan buluh mendapat permintaan paling laris dari peminat barangan kraf tangan.
“Sebelum ini saya mendapat bekalan rak daripada pembekal namun produk itu tidak mendapat sambutan daripada pelanggan kerana pelanggan kurang berminat bingkai rak yang diperbuat daripada kayu.
“Komen daripada pelanggan memberi idea kepada saya untuk cuba membuat sendiri rak bawang dengan menggunakan rotan sebagai bingkai rak.
“Ternyata produk yang dihasilkan itu mendapat sambutan pelanggan dan mendapat sambutan menggalakkan setelah mula dijual semenjak empat bulan yang lalu,” katanya yang bersedia memenuhi permintaan daripada pelanggan jika ada pihak berminat produk baru yang dikeluarkan itu.
Indon berkata, setelah menempuh berbagai cabaran melariskan perniagaan, tugas menguruskan kedai disambung oleh dua anaknya iaitu Roslinda Abd Rashid, 28, dan Ramlah Abd Rashid, 45, juga turut dibantu anak lelaki secara separuh masa.
“Perniagaan kraftangan adalah satu perniagaan yang menguntungkan namun tidak ramai yang berminat menjalankan perniagaan ini yang salah satunya disebabkan sikap masyarakat kita sendiri yang kurang menghargai hasil seni warisan yang standing dengan negar luar.”
“Saya bercadang untuk memperluaskan pemasaran barangan kraftangan terutamanya bagi mempromosikan produk kraftangan keluarannya sendiri iaitu rak bawang dan wau kain batik namun hasratnya itu tidak dapat dilaksanakan kerana kengkangan kemahiran,” kata beliau yang berharap ada pihak dapat membantu merealisasikan 2 buah kedainya iaitu Islah Handycraft dan Linda Handycraft secara internet.
Caption:
0717: pelbagai barangan kraftangan dijual di 2 buah kedai kraftangan milik warga emas; Indon di Kampung Kelulut
0724: Indon Zakarian, barangan di kedai kraftangannya.
0735: Indon Zakaria dan produk keluaran sendiri iaitu wau bulan batik dan rak bawang berbingkai rotan
0739: Indon dan anaknya Roslinda bersama 2 buah produk keluaran sendiri
0747: 751: Indon memperaga bakul bawang berbingkai rotan hasil keluaran sendiri
Tiada ulasan:
Catat Ulasan