search berita di sini

Penderitaan 16 tahun pemandu teksi dan kereta sewa Dungun bakal berakhir

Oleh: Mohd Zawawi Mat Ail

Dungun : Pemandu-pemandu teksi dan kereta sewa Dungun menarik nafas lega pihak Majlis Perbandaran Dungun menawar tempat beroperasi yang baru di kawasan Kuala Dungun yang lebih strategik berbanding kedudukan stesyen sedia ada yang agak tersorok dari kawasan tumpan orang ramai.
       Semenjak stesyen teksi Dungun dipindah dari lokasi asal di hadapan Medan Selera Dungun 16 tahun lalu ke stesyen sekarang ini yang terletak di kawasan belakang Bangunan Baru Pak Sabah, pendapatan pemandu teksi dan kereta sewa terjejas teruk hinggakan tiada seorang penumpang pun menaiki teksi walaupun hampir seminggu mereka menunggu penumpang.
      Ekoran kedudukan lokasi yang terselindung ini, tinjauan Edisi Timur mendapati masih terdapat penduduk yang ditemui di Bandar Dungun tidak mengetahui kewujudan stesyen teksi di belakang Bangunan Baru Pak Sabah walaupun 16 tahun beroperasi di kawasan itu.
      Jaafar Mubin, 46, berkata semasa beroperasi di lokasi asal, pemandu teksi dan kereta sewa tidak mengalami nasib sedemikian rupa kerana kedudukannya berada di tengah Bandar Dungun dan berhampiran dengan pusat niaga yang menjadi tumpuan orang ramai, malah mereka beroperasi hingga ke malam disebabkan permintaan pelanggan yang baik terutama sekali daripada kalangan pelajar-pelajar UiTM Cawangan Dungun.
      “Agak sukar orang ramai mempercayai bahawa kadangkala tiada seorang penumpang pun mendapat perkhidmatan kami walaupun hampir seminggu menunggu.
      “Tetapi itulah keadaan sebenar yang berlaku semenjak stesyen teksi dipindahkan ke lokasi ini 16 tahun lalu.
       Tambah beliau, ekoran jumlah penumpang yang berkurangan setelah stesyen teksi berubah tempat, ditambah pula dengan faktor prebet sapu dan tiada pewaris yang ingin menyambung kerja sebagai pemandu teksi, jumlah pemandu teksi yang dahulunya melebihi 50 orang kini bilangannya tidak sampai 20 puluh orang.
Dengan jumlah bilangan ahli persatuan yang kecil,
         Setiausaha Persatuan Pemandu-pemandu Teksi dan Kereta Sewa Dungun, Umar Mohammad, 59, pihak Persatuan Pemandu-pemandu Teksi dan Kereta Sewa Dungun menerima tawaran untuk menyewa tapak stesyen baru daripada MPD dan pihaknya difahamkan akan berpindah ke stesyen baru setelah pembinaan jalan di Bandar Dungun siap sepenuhnya tidak lama lagi.
        “Setelah berpindah ke stesyen baru yang terletak bersebelahan dengan Stesyen Bas Express Dungun dan Pasar Besar Dungun masalah yang kami hadapi selama ini akan turut berubah.
       “Walaupun kedudukan stesyen baru yang ditawarkan itu terletak agak jauh dengan Pusat Bandar Dungun yang menjadi tumpuan orang ramai untuk membeli belah, kami percaya dengan perancangan yang dibuat pihak MPD untuk membangunkan Kuala Dungun akan berjaya,” katanya yang turut berharap pihak berkuasa turut memantau kegiatan prebet-rebet sapu daripada bermarajalela di stesyen tersebut.
        Sementara itu seorang penduduk, Fatimah Ahmad, 45, berkata dengan adanya kemudahan stesyen teksi yang berdekatan dengan stesyen bas, orang ramai tidak lagi berhadapan dengan masalah untuk mendapatkan perkhidmatan teksi, lebih-lebih lagi di waktu awal pagi dan malam sebagaimana yang dihadapi hari ini berikutan stesyen teksi dan bas terletak agak jauh.
      “Keselesaan dan mutu perkhidmatan yang ditawarkan oleh pemandu teksi dapat dipertingkatkan dan Saya percaya nasib peanu-pemandu teksi akan terbela dengan adanya perancangan dan penempatan stesyen sebegini.
      “Namun begitu tanpa adanya usaha pemantauan oleh pihak berwajib untuk menghalang kegiatan prebet-prebet sapu, usaha yang dilakukan untuk membela nasib pemandu-pemandu teksi akan sia-sia sahaja,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan