Oleh Mohd Zawawi Mat Ail
Dungun: Penduduk meminta pihak bertanggungjawab mengambil langkah segera memperbetulkan gangguan lampu isyarat di Simpang Empat Gong Pasir yang mengganggu kelancaran lalulintas dan membahayakan keselamatan pengguna.
Pengguna jalan raya, Zamzunita Abdul Wahab, 23, berkata, lampu isyarat di simpang empat Gong Pasir kerapkali terganggu semenjak sebulan yang lalu akibat tiang lampu isyarat dilanggar sebuah lori dalam satu kemalangan di simpang itu.
Semenjak kejadian itu lampu isyarat seringkali tidak berfungsi yang membahayakan keselamatan pengguna jalan raya kerana persimpangan itu menjadi laluan utama penduduk di perumahan Taman Rakyat, Kampung Gong Pasir, Kampung Balai Besar dan Kampung Pak Sabah.
“Lampu isyarat di simpang itu sekejap baik dan sekejap rosak walaupun beberapa kali dibaiki pihak berwajib.
“Lampu isyarat itu juga seringkali berkelip-kelip yang mengelirukan pengguna jalan raya dan boleh menyebabkan berlaku kemalangan.
“Apa yang menghairankan kami walaupun pihak berwajib datang membaiki peti kawalan lampu isyarat yang berhampiran dengan persimpangan tersebut namun lampu isyarat tersebut baik sekejap sahaja.
“Saya pernah melihat pihak berwajib datang membaiki pada sebelah pagi, namun di sebelah petang pada hari yang sama lampu isyarat tersebut sudah tidak berfungsi,” katanya.
Ahmad Razali Salleh, 44, berkata, beberapa kali kemalangan nyaris-nyaris berlaku di simpang ini semenjak sebulan yang lalu namun pihak berwajib masih gagal membaiki kerosakan lampu isyarat ini.
“Simpang empat ini sentiasa sibuk dengan berbagai kenderaan terutama lori kerana ianya menjadi laluan alternatif kepada pengguna jalanraya untuk ke Paka dan beberapa taman perumahan tanpa perlu melalui Bandar Dungun yang sibuk.
“Pihak berwajib perlu memandang serius masalah yang dihadapi penguna jalan raya yang terpaksa menggadai nyawa setiap kali melalui simpang empat tersebut di waktu lampu tersebut rosak terutama sekali di waktu malam..
Pelajar, Mia Zarah Malek, 17, berkata, beliau melalui simpang empat tersebut untuk ke sekolah walaupun terdapat jalan yang lain memandangkan laluan tersebut merupakan laluan terdekat ke sekolah tanpa perlu melalui jalan utama yang lebih sibuk.
traffic light pun ada cipsmore ....bukan biskut saje...
BalasPadam