Timur: Rayu lanjut tempoh PLKS
Oleh Mohd Zawawi Mat Ail
bhkt@bharian.com.my
2010/03/29
Pengusaha dakwa sukar cari dana Pas Lawatan Kerja Sementara anak kapal DUNGUN: Pengusaha bot laut dalam di negeri ini merayu Kementerian Dalam Negeri (KDN) melanjutkan tempoh penguatkuasaan penggunaan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) terhadap anak kapal warga asing yang diambil bekerja dalam bot kerana ia terlalu membebankan pengusaha yang perlu mencari dana tambahan.
“Sebelum ini, anak kapal asing yang diambil bekerja hanya perlu memiliki Pas Sementara yang dikeluarkan negara asal dan mereka kemudian mendaftar dengan Jabatan Perikanan Malaysia, malah tiada bayaran levi dikenakan dan kelulusan dikeluarkan Ketua Daerah Perikanan tanpa membabitkan Jabatan Perikanan.
“Bagi mendapatkan PLKS setiap warga asing, pengusaha bot perlu berbelanja RM1,000 untuk kos levi, wang cagaran, polisi insurans, dan laporan perubatan, manakala tempoh kelulusan pula mengambil masa sehingga 37 hari bagi warga asing yang sudah memasuki Malaysia dan 67 hari bagi permohonan baru," katanya.
Arahan mengenai peralihan daripada Pas Sementara kepada PLKS disampaikan kepada semua pengusaha dalam satu taklimat dengan Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Pengarah Perikanan Negeri Terengganu dan Jabatan Imigresen minggu lalu.
Mat Yassim berkata, jika masalah itu tidak ditangani segera sama ada tempoh kuat kuasa peraturan atau kos mendapatkan levi, operasi ramai pengusaha bot laut dalam akan terjejas kerana kekurangan kakitangan, sekali gus turut menjejaskan bekalan ikan ke pasaran.
"Sebagai contoh, saya yang mempunyai dua bot laut dalam perlu membelanjakan lebih RM40,000 untuk membiayai kos PLKS warga asing dan perlu menyediakan dana itu bulan depan kerana peraturan bermula 1 Jun dan prosesnya pula selama 37 hari.
"Sukar mencari wang sebanyak itu dalam tempoh terdekat dan kami meminta jasa baik kerajaan melanjutkan tempoh kuat kuasa peraturan ini kepada Disember 2010 kerana ada pengusaha yang mendapatkan pinjaman bank membeli bot dan peralatan semakin tertekan ketika ini kerana hasil tangkapan berkurangan,” katanya.
Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (Penentu), Tuan Kechik Tuan Husin, 60, berkata satu surat rayuan dihantar kepada Ketua Pengarah Perikanan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani supaya tempoh pelaksanaan PLKS dilanjutkan.
"Saya merayu KDN melanjutkan tempoh kuat kuasa peraturan bagi memberi masa pengusaha bot laut dalam mencari sumber kewangan," katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengusaha bot laut dalam dari daerah Kuala Terengganu, Mansur Ngah, 60, berkata beliau perlu menyediakan RM40,000 untuk urusan permohonan PLKS bagi 45 warga asing yang bekerja dengannya.
“Tempoh dua bulan yang diberi menyebabkan kami gagal mengumpul duit sebanyak itu dan saya bimbang pekerja asing ini akan dikenakan tindakan,” katanya.
Masalah sama dialami Abd Rahim Ghazali, 40, dari Kuala Besut yang hilang punca mencari sumber kewangan RM10,000 dalam waktu terdekat bagi mengelak dikenakan denda dan mengalami kerugian kehilangan pekerja nelayan asing jika gagal berbuat demikian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan