search berita di sini


Pengusaha IKS ditempat secara tersusun


Oleh Mohd Zawawi Mat Ail

DUNGUN:   Majlis Perbandaran Dungun (MPD) membuat perancangan bagi menghidupkan Kawasan Perindustrian Batu 7 dengan membuat penyusunan dan penempatan semula aktiviti (IKS) ke lokasi itu secara berperingkat akhir tahun ini.
                Usaha terancang itu sekali gus dapat menyemarakkan aktiviti perusahaan IKS serta menyelesai isu kekurangan tempat beroperasi usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang terpaksa beroperasi di kawasan yang tidak strategik seperti di kawasan perumahan dan perkedaian yang menimbulkan  gangguan persekitaran seperti bunyi, visual serta mengganggu kelancaran trafik.

Kawasan Perindustrian Batu 7 mempunyai keluasan 26.34 hektar telah diwartakan kerajaan sebagai kawasan perindustrian beberapa tahun lalu namun ianya seakan sepi dengan hanya terdapat beberapa pengusaha sahaja beroperasi di kawasan itu.
Daripada 26.34 hektar itu 6.47 hektar yang sudah dilengkapi dengan kemudahan elektrik dan bekalan air, 11.6  hektar kawasan telah ditambak semula dan tersedia untuk dibangunkan semula manakala 8.27 hektar belum dibuat sebarang kerja pembersihan.
 Yang Di Pertua (YDP) MPD, Zainal Abidn Hussin, perpindahan pengusaha IKS bagi Fasa Pertama sebelum berakhir tahun ini melibatkan 36 pengusaha yang beroperasi di kawasan kritikal dan bermasalah kepada penduduk sekitar.
“Pada 2 Jun kita telah membuat perjumpaan dengan pengusaha-pengusaha bengkel, stor kayu, pengusaha input pembinaan dan mereka memberi maklum balas yang positif untuk mendirikan bangunan perusahaan di kawasan tapak yang disediakan dengan kadar sewa yang ditetapkan.

“Kita dalam proses penyemakan senarai pengusaha yang akan ditawarkan tapak dan dijangkakan perpindahan Fasa Pertama bermula sebelum akhir 2010 manakala bagi Fasa kedua, MPD telah memohon sebanyak 2.4 juta daripada kerajaan negeri untuk pembinaan bangunan untuk disewakan kepada pengusaha IKS.
“Sekarang ini di kawasan daerah Dungun kita mempunyai lebih 100 pengusaha IKS dan dengan usaha penstrukturan semula penempatan perusahaan ianya memberi nilai tambah untuk kemajuan perusahaan IKS itu sendiri.
                “Kita juga mengubah sebahagian prasarana yang dirasakan tidak lagi sesuai berada di lokasi yang sedia ada yang diantaranya turut melibatkan perpindahan depo MPD di Jalan Nibong ke depo baru MPD di Kawasan Perindustrian Batu 7 yang masih dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir Oktober 2010.
                Dalam perancangan jangka masa panjang bagi menghidupkan dan membina nilai tambah kawasan Batu 7, MPD merancang membina sebuah pasar borong serta pembinaan ‘jalan by pass’ sepanjang 3.5 kilometer dengan kelebaran  40 meter.
Dengan pembinaan jalan by pass ini ianya dapat mengurangkan kesesakan jalan di bandar Dungun sekaligus memendekkan masa kira-kira 15 minit perjalanan pengguna jalan dari Kuala Terengganu ke  Paka tanpa perlu melalui melalui bandar Dungun.
“Pembangunan yang dirancang secara tidak langsung dapat memajukan kawasan pembangunan Batu 48 iaitu lokasi pembinaan Kompleks Sukan dan Velodroom yang telah diluluskan kerajaan,” katanya yang ditemui semalam di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan