search berita di sini

RELA dan JPAM DUNGUN bergotong royong membersih Makam bersejarah Raja Siak


Mohd Zawawi Mat Ail
Dungun:   Lebih 50 anggota RELA dan JPAM bersama-sama penduduk kampong Che Lijah bergotong royong membersihkan perkuburan lama yang turut menempatkan makam Marhum Sultan Yahya (Yang Di Pertua Besar Siak) yang mengikut sejarah menetap di Dungun  setelah membawa diri dari Siak kerana persengketaan dan akhirnya bersema di Kampung Che Lijah (Kota Tanjung Pati-Bemban).
                Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Che Lijah, Ismail Mohamad, berkata tugas memelihara dan menjaga artifak-artifak bersejarah tidak hanya terletak di bahu ahli muzium sahaja, pemimpin-pemimpin tempatan dan orang awam juga perlu bersama-sama menjaganya sebagaimana usaha bergotong royong pada hari itu .
                Menurutnya, tanah perkuburan lama ini yang mempunyai banyak kubur-kubur lama keturunan Siak seringkali dikunjungi waris keturunan diraja tersebut dari Sumatera dan waris keturunan Raja Siak masih ada lagi di Dungun sendiri.
                “Keturunan Marhum Sultan Yahya masih kekal ke hari ini di Dungun dan di antaranya ialah Pengerusi BABENA, Tengku Ismail yang sebelum ini pernah bersama-sama pembesar-pembesar Raja Siak dari Sumatera datang melawat makam tersebut,” katanya.
Penolong Pegawai RELA Daerah Dungun, Mejar Mohd Zawawi Elias, berkata selain dapat memberi khidmat kepada masyarakat aktiviti gotong royong ini juga dapat memupuk sikap bertanggungjawab di kalangan anggota RELA sendiri untuk menjaga warisan sejarah dan terus dikekalkan untuk generasi yang akan datang.
Penduduk, Mohammad Ismail, 40, berkata sebagai anak jati kampung ini beliau berasa bangga mengetahui Kampung Che Lijah (nama lama Tanjung Pati) ini mempunyai nilai sejarah yang tinggi dan pernah menjadi kota pemerintahan kerajaan Siak suatu masa dahulu.
‘Sudah sewajarnya peninggalan bersejarah sebegini perlu dipelihara dan operasi bergotong-royong seperti yang diadakan hari ini bagi membersih kawasan tersebut perlu diadakan  dari semasa ke semasa,’ katanya.
                Sementara itu, Ahli Dewan Undanga Negeri (ADUN) Paka, Datuk Za’aba Mohd Adib yang turut serta bergotong royong berkata, beliau berusaha untuk mengkomersialkan peninggalan sejarah di Kampung Che Lijah dan Kampung Bemban yang pernah  menjadi kota Raja Siak dengan nama Kota Tanjung Pati-Bemban suatu masa dahulu.
                “Kita sedang berusaha meminta peruntukan untuk membina pagar mengelilingi tanah perkuburan bersejarah yang turut menjadi tempat persemadian makam Marhun Sultan Yahya (Raja Siak) ini bagi memastikan peninggalan sejarah ini lebih terpelihara.
                “Memandangkan perkuburan ini dipenuhi semak dan hanya menunggu usaha membersih kawasan secara sukarela oleh penduduk kampong setahun sekali kita akan berusaha untuk memastikan satu jadual  kerja pembersihan secara berkala ditanah perkuburan ini diadakan," katanya di majlis gotong royong yang turut dihadiri wakil muzium bagi memantau kerja-kerja pembersihan. END
839: makam bersejarah Sultan Yahya ( Raja Siak)
833: Dato' Za'aba bergambar bersama anggota JPAM dan Rela selepas bergotong royong dihadapan makam Raja Siak
841: makam bersejarah Sultan Yahya (Raja Siak)
837: Dato' Za'aba bergambar bersama anggota JPAM dan Rela selepas bergotong royong dihadapan makam Raja Siak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan