Paka: Program benteras dadah habis-habisan anjuran parlimen Dungun meriah dengan pelbagai aktiviti sepanjang dua hari meriah yang turut dijayakan oleh agensi-agensi kerajaan sebagai langkah permulaan program besar-besaran bagi mencapai sasaran sifar dadah di beberapa lokasi panas di daerah Dungun.
Seorang klien (penagih dalam pantauan AADK) yang menetap di Kerteh 4 dan mahu dikenali sebagai Karim berkata, program turun padang ahli parlimen bersama agensi-agensi kerajaan yang lain memberi penerangan kepada penduduk kampung mengenai bahaya penyalah gunaan dadah dan peranan anggota masyarakat untuk menanganinya amat bermanfaat.
“Kunjungan ahli parlimen bersama-sama pengarah Agensi Anti Dadah menemui klien dari rumah ke rumah memberi suntikan semangat kepada kami untuk terus menguatkan azam menjauhi diri terperangkap sekali lagi dengan penyalah gunaan dadah.
Bapa kepada seorang klien, Abd. Rahaman Isa, 50, terharu dengan lawatan ahli parlimen dan pengarah AADK negeri ke rumah beliau bertanya khabar dan menemui anak beliau yang masih dalam pemantauan pihak AADK semenjak 2 bulan yang lalu.
Beliau berkata, selain memberi suntikan semangat kepada klien dan ahli keluarga terbabit melalui sesi ceramah, pameran dan penerangan yang diberi penduduk lebih memahami tanggungjawab mereka sebagai anggota masyarakat untuk bersama-sama membantu pihak berkuasa membenteras penyalah gunaan najis dadah di kawasan masing-masing.
Agensi-agensi kerajaan seperti RELA, Bomba dan Penyelamat, Pejabat Kesihatan Dungun dan lain agensi turut mengadakan pameran pameran selama dua hari di perkarangan Balai Orang Ramai KETENGAH bagi mengenengahkan aktiviti agensi masing-masing bersama golongan belia selain menambah keahlian baru.
Pegawai RELA daerah Dungun, Wan Mohd Afandi Wan Ismail, berkata dengan menganggotai badan-badan beruniform seperti RELA, RADA dan sebagainya, masa terluang golongan belia terisi dengan aktiviti yang bermanfaat bagi mengelakkan diri terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat yang akhirnya menjurumus mereka kepada gejala najis dadah.
Ahli Parlimen Dungun, Matulidi Jusoh, berkata berbagai program telah diatur bagi memerangi dadah secara habis-habisan dengan kerjasama agensi-agensi terbabit di kawasan parlimen Dungun terutama sekali di beberapa lokasi panas terutamanya di KETENGAH JAYA.
“Program pada hari ini merupakan program pembuka tirai kepada program-program yang akan berlangsung dari semasa ke semasa sehinggalah kita mencapai sasaran “dadah sifar” di lokasi KETENGAH JAYA ini yang menjadi salah satu lokasi panas di daerah Dungun,” katanya yang ditemui di majlis perasmian program tersebut.
Sementara itu, pengarah AADK negeri Terengganu, Rujhan Ramli, berkata komitmen yang diberi oleh agensi-agensi bersama-sama Pejabat Parlimen Dungun sebagai penganjur program amatlah bermakna kepada pihak AADK sendiri dalam membantu usaha menangani gejala penagihan dadah di daerah Dungun.
“Saya kagum dengan komitmen yang diberikan Ahli Parlimen Dungun, yang meluangkan masa bersama-sama menjejak klien-klien walaupun sibuk dengan pelbagai tugas sebagai seorang ahli parlimen,” katanya. end
1030145: Matulidi bersama Rujhan melawat ke rumah klien di Ketengah Jaya
1030160: Matulidi menyampaikan buah tangan kepada keluarga klien di perhatikan Rujhan
1030161: Pengarah AADK negeri Terengganu, Rujhan Ramli
Tiada ulasan:
Catat Ulasan