search berita di sini

AJK MAsjid Santong sedih masjid uzur, busuk

Penduduk Santung sedih tempat ibadat bocor, dicemari najis kelawar



Timur: Masjid uzur
Oleh Mhd Zawawi Mat Ail
bhkt@bharian.com.my
2010/06/28


DUNGUN: Penduduk Kampung Santung di sini sedih dengan keadaan masjid mereka dengan siling dan bumbung berlubang hingga menjadi sarang kelawar dan menyebabkan jemaah terpaksa berdepan bau busuk yang meloyakan.
Sehubungan itu, penduduk merayu pihak berkaitan mengambil langkah segera membaiki dan menaikkan taraf masjid uzur berkenaan yang sentiasa diimarahkan dengan pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.
Tinjauan Edisi Timur di masjid itu mendapati selain berdepan risiko keselamatan disebabkan siling hampir runtuh, keadaan dalam dan luar bangunan juga daif dan kurang selesa dengan bau busuk tahi kelawar menyucuk hidung dan permaidani lembap dibasahi hujan.


Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Santong, Shafie Salleh, 53, yang juga Penasihat AJK masjid berkenaan, berkata bumbung mula bocor sejak tiga tahun lalu dan langkah pembaikan kecil-kecilan yang dibuat tidak dapat menampung kerosakan semakin buruk.

Katanya, atap dan siling bocor di merata bahagian bumbung menyebabkan lantai dan permaidani di masjid ini sentiasa basah dan berbau hapak.

“Setiap kali hujan lebat, berbelas besen diatur menadah air hujan daripada terus membasahi permaidani yang memakan masa untuk kering dan berbau hapak walaupun hujan sudah berhenti berhari-hari lamanya.
“Ruang siling masjid dikotori najis kelawar dan burung yang membuat sarang selepas syiling yang berlubang dan terkopak dibiarkan tanpa dibaiki menyebabkan jemaah terpaksa menghidu bau busuk yang semakin kuat bila musim hujan kerana siling dibasahi hujan dan udara lembap,” katanya.

Shafie berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah beberapa kali meninjau masjid itu tetapi pemeriksaan sudah bertahun lalu dan tiada apa pembaikan dibuat hingga kini.

Bilal masjid, Che Ku Ngah Che Ku Mat, 53, berkata dia bimbang dengan keadaan masjid yang sudah terlalu daif, kerana menjejaskan kelancaran kegiatan mengimarahkan masjid terutama apabila ada program yang membabitkan pengunjung luar.

Katanya, pelbagai agensi dan badan swasta termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, persatuan silat dan pertubuhan bukan kerajaan daerah ini selalu menganjurkan aktiviti bersama penduduk turut hairan dengan keadaan masjid itu yang tidak mendapat pembelaan pihak berkuasa berkaitan.

Seorang jemaah, Nordin Abu Bakar, 47, berkata beliau amat kecewa kerana tiada kerja penambahbaikan dibuat sejak masjid itu dibina pada 1986.

“Kami kesal walaupun sudah bertahun ahli jemaah menunaikan tuntutan agama dengan bau yang kurang menyenangkan dan berisiko ditimpa syiling yang robek, impian kami untuk memiliki masjid yang lebih selamat dan selesa hanya tinggal angan-angan,” katanya hampa.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Mohd Ariffin Abdullah, ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah memanjangkan masalah masjid itu kepada pihak berkuasa berkaitan.

Sehubungan itu, katanya, pihak Jabatan Agama dan JKR perlu memberi ketetapan untuk menyegerakan kerja membaiki masjid Santong memandangkan keadaannya sudah terlalu uzur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan