search berita di sini

SMK Paka dan SK Seberang Pintasan juara MSSD ke-41


Oleh Mohd Zawawi Mat Ail

Dungun:   Sekolah Menengah Paka yang memegang piala pusingan sekolah menengah terbaik dalam kejohanan olahraga Majlis Sukan Sekolah Dungun (MSSD), sekali lagi mengekalkan kejuaraan tersebut dengan pencapaian 29 emas, 17 perak dan 13 gangsa dalam MSSD ke-41 baru-baru ini.
Manakala  Sekolah Kebangsaan Seberang Pintasan pula dinobatkan sebagai sekolah rendah terbaik keseluruhan dengan pencapaian 5 emas dan 1 perak dalam kejohanan yang berlangsung selama 5 hari di trek olahraga Sekolah Menengah Sultan Omar (SMSO) di sini.
Dalam kejohanan kali ini seramai 1500 atlit menyertai kejohanan dalam 24 acara olahraga yang dipertandingkan yang terdiri daripada 41 buah sekolah rendah dan 21 buah sekolah menengah di daerah Dungun.
Buat julung-julung kalinya, kejohanan olahraga MSSD menyaksikan sekolah luar bandar iaitu Sekolah Kebangsaan Tok Kah berjaya menjuarai kategori atlit terbaik perempuan 12 tahun dan ke bawah dengan pencapaian pingat emas dalam acara lompat pagar (80 meter), lompat jauh, 4 darab 100 meter dan 4 darab 200 meter.
Atlit terbaik kategori perempuan 12 tahun dan ke bawah, Siti Nor Azni Halim, 12, berkata, kemenangan yang diperolehi akan dijadikan batu loncatan kepada beliau untuk terus berusaha denagn lebih giat menjadi atlit olahraga yang suatu hari nanti akan mengharumkan nama negara.
                Beliau yang akan mewakili daerah Dungun dalam kejohanan di peringkat negeri  bulan Oktober nanti berazam mempertingkatkan prestasi bagi mengekalkan kecemerlangan bagi menjadi juara dalam kejuaraan itu nanti dan seterunya bertanding di peringkat kebangsaan.
                “Bersekolah di pedalaman bukan menjadi alasan untuk saya bersaing dengan atlit dari sekolah di Bandar malah dengan kekurangan fasiliti dan kemudahan membakar semangat saya untuk berusaha lebih bagi mencapai kejayaa,” katanya yang ditemui di majlis penutup MSSD baru-baru ini.
Mohd Ikhwan Safwan Zainuddin, 15, atlit dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Dungun dinobatkan sebagai atlit lelaki terbaik kejohanan dengan pencapaian tiga rekod baru kejohanan dalam acara lari 100 meter, 400 meter dan lompat tinggi.
Beliau yang turut merangkul 3 emas turut dinobatkan sebagai atlit terbaik lelaki kategori 15 tahun dan ke bawah bertekad menjadi johan peringkat kebangsaan dalam acara lari 400 meter selepas terlepas peluang mewakili Terengganu di peringkat kebangsaan tahun lepas disebabkan mengalami kecederaan.
“Saya ingin menebus peluang yang terpaksa dilupakan pada tahun lepas untuk bersaing di peringkat kebangsaan setelah mengalami kecederaan di saat-saat akhir perlawanan berlangsung dengan membawa pulang pingat kejohanan untuk sekolah dan juga negeri Terengganu,” katanya yang bercita-cita menjadi atlet olahraga suatu hari nanti.
Anugerah atlit terbaik perempuan keseluruhan dimenangi oleh atlit dari Sekolah Menengah Kebangsaan Paka, Nor Azizah Yusri, 18,  dengan pencapaian 3 emas melalui acara lari 200 meter, lari  400 meter dan lari berpagar 400 meter.
Beliau yang turut mencipta 2 rekod baru kejohanan dalam acara lari berpagar 400 meter dan lari 400 meter turut dinobatkan sebgai atlet terbaik kategori 18 tahun dan ke bawah.
Sementara itu pegawai pelajaran daerah Dungun, Zakariah Ali, berkata, secara keseluruhan sebanyak 28 rekod baru kejohanan dicipta atlit pada kejohanan MSSD kali ini.
Beliau turut melahirkan kegembiraan kerana buat pertama kalinya kejohanan MSSD Dungun diadakan di trek olahraga yang lebih selesa yang menelan kos sebanyak RM 2.75 juta.
“Semoga  dengan terbinanya trek ini ianya menjadi dorongan untuk atlit-atlit kita untuk terus berusaha dengan lebih giat bagi menempah kejayaan di peringkat Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan