“Nelayan bertaruh keselamatan diri meniti titian akibat jambatan terputus”
“Kerja pembersihan sungai seharusnya dilakukan dengan lebih efisyen dan bersistematik bagi mengelakkan pokok-pokok bakau musnah,”
Oleh: Mohd zawawi Mat Ail
Kuala Abang: Penduduk Kampung Kuala Abang meminta pihak JPS menjalankan kerja-kerja pemulihan semula Sungai Kuala Abang yang terhakis teruk setelah kerja pembersihan sungai turut memusnahkan pokok-pokok bakau di tebing sungai tersebut.
Pokok-pokok bakau yang tumbuh secara semulajadi di sungai-sungai berfungsi menyelamatkan sungai daripada aliran sungai terutama sekali apabila paras aliran air sungai naik dan menjadi deras di musim tengkujuh.
Namun sebahagian pokok-pokok bakau di tebing sungai tersebut yang sepatutnya dipelihara telah musnah menyebabkan tebing sungai runtuh, sekaligus merebahkan pokok-pokok besar, merosakkan jambatan dan wakaf untuk kegunaan nelayan dan pengunjung yang berehat di kawasan itu.
Tnjauan Edisi Timur di sekitar Sungai Kuala Abang mendapati sebuah jambatan berdekatan Masjid Kuala Abang yang menjadi laluan pengunjung untuk menyeberangi sungai ke kawasan pantai dan digunakan nelayan untuk berulang alik turun ke laut dengan membawa membawa enjin dan hasil tangkapan tergantung kerana sebahagian tebing sungai runtuh.
Beberapa batang pokok kelapa tumbang menyembah bumi dan sebahagiannya ada yang tumbang menimpa bumbung wakaf yang menjadi tempat pengunjung beristirehat, sementara itu dua batang kayu sebesar lengan menghubungkan jambatan tersebut dengan tebing sungai yang runtuh terpaksa dijadikan titian oleh nelayan walaupun keselamatan mereka menjadi taruhan.
Penduduk, Mazlan Abdul Wahab, 45, berkata jambatan yang rosak menimbulkan kesulitan kepada nelayan yang selama ini menggunakannya sebagai laluan untuk turun ke laut khususnya untuk membawa enjin dan peralatan menangkap ikan.
“Sudah beberapa kali nelayan yang bersama peralatan menangkap ikan terjatuh ke dalam sungai semasa melalui titian tersebut, nelayan terpaksa mengguna jambatan ini walaupun membahayakan keselamatan mereka kerana hanya ini laluan terdekat untuk ke nelayan turun ke laut.
Tempat ini juga menjadi salah satu daripada tempat kunjungan orang ramai yang bersama keluarga lebih-lebih lagi dengan kedudukannya yang berdekatan dengan jalan raya dan Masjid Kuala Abang yang menjadi persinggahan orang ramai.
“Semenjak jambatan tersebut terputus pengunjung menghadapi kesulitan untuk ke pantai, saya bimbang dengan eselamatan pengunjung yang masih menyeberang dengan meniti di atas titian kayu yang digunakan nelayan itu terutama sekali dengan ketiadaan orang dewasa bersama,” katanya.
Timbaan pengerusi JKKK, Ariffin@Abdullah Mohammad, berkata sebelum ini Sungai Kuala Abang tidak pernah mengalami hakisan sebagaimana yang berlaku sekarang ini, walaupun aliran air sering melimpahi tebing di musim tengkujuh namun pokok-pokok bakau menyelamat tebing sungai daripada runtuh.
“Kerja pembersihan sungai seharusnya dilakukan dengan lebih efisyen dan bersistematik bagi mengelakkan pokok-pokok bakau musnah,” katanya.
Pengerusi Persatuan Nelayan daerah Dungun, Mat Yassin Mohamed berkata pihak berkenaan perlu membaiki jambatan yang terputus itu dengan segera bagi mengelakkan berlaku kejadian yang tidak diingini terutamanya kepada nelayan yang terpaka mengguna jambatan tersebut.
Beliau juga meminta kerja penanaman pokok-pokok bakau dilakukan di kawasan berkenaan hakisan bagi mengelak masalah hakisan terus berlaku dan menjadi bertambah teruk.
“Begitu juga dengan kerja pemotongan pokok-pokok yang tumbang perlu di lakukan segera bagi menjamin keselamatan pengunjung dan juga nelayan,’ katanya yang turut memita pihak berkenaan lebih berhati-hati apabila melakukan kerja pembersihan sungai bagi mengelakkan pokok-pokok semulajadi di tebing sungai terutamanya pokok bakau tidak dimusnahkan hingga menyeabkan hakisan kepada kawasan berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan