search berita di sini

Timur: Terbakar lagi
Oleh Mohd Zawawi Mat Ail
bhkt@bharian.com.my
2010/07/14

Kejadian dipercayai akibat puntung rokok pencari kayu di hutan paya bakau

DUNGUN: Tidak sampai dua bulan kebakaran di Tapak Perindustrian Batu 7 di sini, berakhir, kejadian sama dikenal pasti berlaku lagi beberapa hari lalu di hutan paya bakau itu, dipercayai berpunca daripada kegiatan pencari kayu bakau yang mencampakkan puntung rokok.

Kebakaran itu menyebabkan beberapa kampung di kawasan berhampiran dilanda jerebu dan mengancam kesihatan penduduk disebabkan kualiti udara tercemar.
Tinjauan Edisi Timur ke kawasan itu semalam mendapati ada beberapa unggun kayu serta kotak rokok di kawasan hutan paya bakau itu, yang sebahagiannya sudah lapang ditebang pencari kayu bakau.

Di beberapa bahagian kawasan itu kelihatan longgokan kayu bakau yang siap ditebang dan diletakkan di tepi jalan, dipercayai tidak sempat diangkut keluar daripada kawasan itu setelah kebakaran berlaku.

Ketua Balai Bomba Dungun, Penolong Penguasa Bomba Suki Annuar, berkata pihaknya memulakan kerja memadam tengah hari Jumaat lalu, selepas menerima panggilan daripada orang awam.

“Kebakaran tanah paya gambut memakan masa untuk dipadamkan, tidak seperti kebakaran hutan biasa kerana kebakaran mencecah kedalaman dua kaki, walaupun kita mempunyai sumber air yang mencukupi dari saliran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Operasi dijalankan bermula jam 8 pagi dan berakhir 6 petang dengan kekuatan tujuh anggota bomba, 10 anggota Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM) dengan kemudahan satu jentera dan dua pam mudah alih untuk mengepam air dari parit JPS ke kawasan kebakaran.

“Kebakaran ini menyebabkan masalah jerebu teruk yang boleh mengancam kesihatan penduduk beberapa kampung berdekatan dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Balai Besar, yang jaraknya tidak sampai satu kilometer kawasan kebakaran,” katanya.

Suki berkata, berdasarkan siasatan awal pihaknya tidak menolak kemungkinan punca kebakaran daripada aktiviti pencari kayu bakau di kawasan ini yang menyalakan unggun api dan merokok ketika memotong kayu di kawasan berkenaan.

“Kebakaran sukar berlaku di kawasan hutan ini, selain daripada kegiatan manusia sendiri seperti merokok. Tanah gambut yang kering mudah terbakar jika unggun api dan puntung rokok tidak dipadam sepenuhnya,” katanya.

Suki berkata, pihaknya berharap, pencari bakau atau orang awam yang memasuki kawasan hutan itu mengelak meninggalkan unggun api yang masih menyala terutama di kawasan yang banyak daun kering bagi mengelak kebakaran berulang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan